PM: Urus tadbir baik dapat tangkis stereotaip pengganas
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata negara Islam dunia kini berdepan dengan cabaran utama apabila sering dikaitkan dengan keganasan.
Bagaimanapun, Najib yakin semua pemimpin Islam di seluruh dunia mampu mengubah persepsi negatif tersebut dengan menggunakan konsep keadilan dan ketelusan dalam tadbir urus pemerintahan.
:Pemimpin-pemimpin Islam boleh mengubah persepsi negatif melalui tadbir urus yang adil dan telus, satu topik yang akan dibincangkan pada forum ini hari ini, kerana tadbir urus yang baik mewujudkan kepercayaan di kalangan rakyat," katanya.
Kata Najib, sistem tadbir urus yang baik akan mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mengatasi kejahilan.
“Salah satu cabaran terbesar para pemimpin Islam adalah untuk berhadapan dengan tindakan puak ekstremis yang menyalahgunakan nama Islam.
“Inilah tugas kita.
“Bukan sahaja untuk menangkis stereotaip ini, malah untuk menghadapi ancaman puak pengganas itu dengan bersedia menjadi pemimpin yang bijaksana dan berintegriti,” katanya dalam ucapan perasmian Forum Kepimpinan Muslim Dunia Ketiga, di Petaling Jaya hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sementara itu, diminta mengulas lanjut kenyataan itu, Asyraf berkata Malaysia perlu memberi penekanan dalam menerajui Islam dengan berasaskan prinsip wasatiyah.
Kata Asyraf, selama 100 tahun kebelakangan ini isu Islam politik telah dijadikan tema besar sehinggakan umat bertelagah dalam hal-hal politik.
"Sebab itulah kita bersifat wasatiyah, yang seimbang dan tidak terlalu ekstrim ke kanan atau ke kiri.
“Kita tidak pernah menghalalkan atau mengiktiraf sebarang bentuk ekstrim yang bersifat ganas kerana Islam tidak sekali-kali mengiktirafnya atau pun yang bersifat liberal ekstremis, ekstrim yang bersifat menolak agama seperti nilai sekular dan sebagainya,” kata Asyraf.

