'Islam lebih luas dari soal hudud, politik Islam'
Dominasi perbincangan dalam hal ehwal politik semata-mata menjadikan banyak lagi isu-isu penting umat Islam gagal disentuh secara mendalam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, perkara itu telah berlarutan dalam dunia Islam sejak 100 tahun kebelakangan ini.
"Perbincangan dan perbahasan hanya tertumpu soal apakah model negara Islam,” katanya lagi.
Bagaimanapun, katanya umat Islam tidak membincangkan perkara lain yang ditekankan daripada awal.
Perkara itu, katanya, termasuk aspek keilmuan, ketamadunan, pemerkasaan ekonomi, belenggu kemiskinan serta masalah buta huruf.
“...tetapi fokusnya banyak kepada perbincangan yang retorik seolah-olah Islam ini hanya dalam bentuk, tetapi bukan intipati," kata Asyraf.
Disoal pemberita berhubung pandangan sempit tentang hudud dan syariah, beliau berkata hudud sahaja tidak menjadikan Malaysia negara Islam.
"Bila kita cakap soal hukum hudud kita melibatkan enam jenis hukuman sahaja.
“Takkanlah bila kerajaan melaksanakan hudud maka kita sudah selesai menjalankan tanggungjawab mentadbir sesebuah negara.
"Ini tak betul, walhal Islam bukan soal hukum sahaja tetapi soal pembangunan modal insan, pendidikan, memperkasakan ekonomi," kata Asyraf kepada pemberita dalam Forum Kepimpinan Muslim Dunia Ketiga, di Petaling Jaya hari ini.
Beliau sebelum ini membacakan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang antaranya menekankan supaya pemimpin Islam mengubah tanggapan buruk yang mengaitkan Islam dengan keganasan.

