Selepas memenuhi jemputan ke Pusat Anak Permata Negara (PERMATA), ADUN DAP Yeo Bee Yin hari ini mengundang pembantu isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor ke Pulau Pinang ekoran dakwaan pentadbiran negeri itu dan ketua menterinya mengamal rasuah.

Jemputan terhadap Rizal itu dibuat pada sidang media selepas sesi taklimat tertutup selama kira-kira dua jam antara wakil rakyat DAP dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Program PERMATA, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod dan Penasihat bahagian PERMATA Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin.

"Kita boleh jemput beliau (Rizal) pergi Pulau Pinang untuk adakan satu sesi dialog seperti hari ini dan kita boleh beri penerangan," kata ADUN Damansara Utama itu.

Selain Yeo, kunjungan tersebut turut dihadiri oleh ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming serta Ketua Wanita MCA, Heng Seai Kie.

Sebelum ini, Yeo dijemput oleh Rizal untuk melawat PERMATA yang dinaungi Datin Seri Rosmah Mansor selepas melahirkan hasrat untuk melihat akaun program tersebut yang dibiayai kerajaan serta ingin mendapat gambaran penuh bagaimana program itu dijalankan.

Sehubungan itu, pada sidang medianya, Yeo memberitahu beliau berterima kasih atas pertemuan yang diadakan pada hari ini walaupun pihaknya dan PERMATA mempunyai perbezaan pandangan.

Bagaimanapun, Yeo berkata, walaupun berbeza pandangan pihaknya tetap mempunyai matlamat yang sama dengan PERMATA untuk kebaikan rakyat.

"Prinsipnya untuk kebaikan anak-anak. Kita cuma nak beri pandangan berbeza. Tapi saya mahu kebaikan untuk rakyat.

"Memang ada pendirian lain dari segi polisi dan pandangan tentang urusan pentadbiran," katanya yang turut berpendapat PERMATA sepatutnya diuruskan di bawah sebuah kementerian khusus dan bukan di Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu, Yeo juga berharap agar akaun diaudit PERMATA akan didedahkan kepada umum agar dapat diteliti oleh orang ramai yang selama ini mempunyai tanggapan negatif terhadap badan berkenaan.

Sehubungan itu, menjawab permintaan Yeo, Siti Azizah memberitahu, pihaknya akan memberikan laporan audit akaun Yayasan PERMATA kepada ADUN DAP itu minggu depan.

Bagaimanapu jelasnya, pihaknya hanya boleh memberi laporan audit Yayasan PERMATA memandangkan Yeo perlu menulis surat kepada Ketua Audit Negara sekiranya mahukan laporan audit PERMATA.

"Kita diaudit oleh Ernst & Young dan minggu depan kita akan bagi akaun yang telah diaudit.

"Saya akan beri akaun Yayasan (PERMATA). Dan akan juga paparkan di laman web. Untuk akaun PERMATA, perlu tulis surat kepada Ketua Audit Negara," katanya.