Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jaga bunga dari dipetik orang, sunting bunga di taman orang'
Diterbitkan:  Oct 6, 2016 3:23 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

"Jaga bunga daripada dipetik orang dan pada masa sama cuba sunting bunga lain di taman orang," kata Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas betapa perlunya pergerakan itu menjaga anggota sedia ada dan berusaha menarik lebih ramai anggota baru menyertai pergerakan itu.

Dalam menghadapi pelbagai cabaran, terutama usaha parti lain menarik lebih ramai keanggotaan, Puteri Umno tidak boleh patah semangat atau rendah diri sebaliknya terus berusaha menjaga anggotanya serta mengukuhkan parti dengan menarik lebih ramai anggota.

Katanya anggota Puteri Umno bersama pemimpin Umno yang lain perlu komited dan melipat gandakan usaha mendekati lebih ramai orang muda terutamanya mereka di peringkat akar umbi.

"Saya nak hati mereka (anggota Puteri Umno) cekal dan suburkan semangat yang ada dalam diri mereka sebagai pendekar srikandi puteri supaya dapat mengekalkan kemenangan (Barisan Nasional) sedia ada," katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Seminar Pemerkasaan Patriotisme Melalui Pendidikan Sejarah di Institut Pendidikan Guru, Durian Daun di sini yang turut dihadiri Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmim.

Mas Emieyati berkata anggota pergerakan itu juga kini sedang menggiatkan langkah untuk menjejaki serta mendekati generasi muda yang masih belum lagi mendaftar sebagai pemilih.

"Walaupun mereka belum lagi mendaftar sebagai pemilih mereka perlu didekati supaya mereka rasa tidak dipinggirkan dan mereka tahu banyak yang kerajaan BN buat cukup banyak untuk orang muda Malaysia.

"Itu yang kita beri fokus untuk meneruskan komitmen menggerakkan jentera bagi mendekati orang muda, sehubungan itu saya minta semua pihak memainkan peranan masing-masing daripada peringkat akar umbi hingga ke peringkat nasional," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS