Wasatiyyah angkat kepimpinan wanita, kata Rosmah
Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini berkata pendekatan wasatiyyah yang diamalkan Malaysia telah mengangkat kedudukan wanita dan turut mengiktiraf golongan itu sebagai pemimpin.
Malah, tegas Rosmah, ia sekali gus menyumbang kepada kemajuan negara hari ini.
Kata Rosmah, konsep Islam itu juga telah berjaya meletakkan negara dalam kestabilan, keamanan dan keharmonian melalui kepelbagaian agama dan budaya antara masyarakat negara ini.
"Apa yang lebih penting, prinsip wasatiyyah telah membawa prospek lebih cerah untuk menghargai bakat wanita dalam kepimpinan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara.
"Momentum kepimpinan golongan itu telah meletakkan asas yang kukuh melalui pelbagai strategi yang dilaksanakan kerajaan," kata Rosmah pada majlis makan tengah hari bersempena Forum Kepimpinan Muslim Dunia Kali Ketiga, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Syukri.
Dalam pada itu, Rosmah berkata, usaha untuk memperkasakan wanita dalam pendidikan, ekonomi dan kesihatan telah dilaksanakan kerajaan menerusi pelan pembangunan negara dengan peruntukan bajet bersesuaian sejak tahun 1960.
Beliau berkata, peluang wanita dalam bidang ekonomi terutama aspek keusahawanan telah menjadi agenda penting untuk membasmi kemiskinan dan menjamin kewangan mapan bagi golongan itu.
Katanya, kerajaan juga turut meletakkan komitmen untuk menghapuskan perbezaan jantina di tempat kerja.
"Program pembangunan kapasiti dan latihan, akses kepada kredit kewangan dan pasaran ekonomi telah membantu wanita untuk membuktikan keupayaan mereka dalam dunia perniagaan.
"Sasaran kini adalah menetapkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan di peringkat membuat keputusan yang perlu disokong oleh insentif dan bantuan untuk penjagaan anak, waktu kerja yang fleksibel dan menyediakan program latihan kepimpinan dalam bidang korporat," katanya.

