Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad berhubung cadangan penubuhan Majlis Ukhwah Islamiah Negara (MUIN).

Rombongan yang diketuai presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali itu tiba di Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Kuala Lumpur sekitar jam 3 petang.

Menurut Ibrahim, kunjungan hormat tersebut dibuat bagi memberi taklimat sekali gus menyerahkan memorandum mengenai cadangan penubuhan MUIN.

"Kita telah memberi taklimat mengenai cadangan tersebut dengan sejumlah 20 naskah (memorandum) untuk dipersembahkan kepada raja-raja Melayu dan kalau berkesempatan ia dibawa ke dalam mesyuarat majlis tersebut yang akan berlangsung minggu hadapan.

"Kalau ini mendapat restu daripada Majlis Raja-Raja Melayu bererti satu sekretariat akan dibentuk di bawah anggota MUIN," kata Ibrahim kepada pemberita.

Jun lalu Ibrahim mencadangkan pembentukan MUIN untuk merealisasikan gerakan penyatuan Melayu Islam di negara ini.

Beliau juga mencadangkan majlis itu diletak di bawah kelolaan Majlis Raja-Raja Melayu bagi menjamin statusnya sebagai entiti yang luhur dan bebas daripada pengaruh politik.

Ibrahim juga berharap MUIN akan menjadi medan unggul bagi menghimpunkan parti politik khasnya Umno dan PAS serta NGO lain seperti PERKASA bagi membincangkan survival Melayu Islam.

Mengulas lanjut Ibrahim berkata setiap parti politik berteraskan Melayu-Islam dan NGO-NGO besar akan diwakili dua orang dalam sekretariat yang bakal ditubuhkan MUIN, manakala NGO biasa diwakili seorang anggota.

Dekatkan Melayu dengan raja

Pada pertemuan itu, beliau juga berharap memorandum itu akan dapat dibawa dalam Persidangan ke-242 Majlis Raja-Raja yang dijadual pada 11 hingga 13 Oktober ini.

Katanya, beliau percaya pelaksanaan MUIN dapat merapatkan ukhwah di kalangan masyarakat Melayu-Islam sekali gus mendekatkan lagi mereka dengan raja-raja Melayu.

"Saya percaya kalau raja-raja Melayu (setuju) dengan perkenan Agong, semua akan akur.

"Sebab orang Melayu sifatnya memang taat kepada raja-raja, jadi kalau dah dapat perkenan Tuanku semua akan datang dan bermesyuarat maka isu yang berkaitan dengan Islam, kepentingan Melayu contohnya dapat kita buat keputusan bersama," katanya.

Lihat Komen
ADS