Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sehari cukup, kata Maidam untuk selesai masalah zakat
Diterbitkan:  Oct 6, 2016 6:01 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) kini mampu menyelesaikan masalah pengagihan wang zakat dalam satu hari sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata ia susulan penambahbaikan terhadap sistem sedia ada bagi memudahkan bayaran kepada mereka yang berkelayakan, dan tuduhan berlaku kelewatan apabila syarat dipenuhi, adalah tidak benar sama sekali.

"Saya terima banyak rungutan daripada golongan asnaf yang mengadu agak sukar untuk memperoleh bantuan wang zakat daripada Maidam.

"Di sini saya ingin memaklumkan, sebenarnya perkara lambat itu berlaku bukan sekarang. Setelah kita buat penambahbaikan sistem, proses agihan bantuan kepada asnaf lebih teratur serta cepat, dan mampu diselesaikan dalam sehari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Liqa' Mahabbah 2016 anjuran Pejabat Mufti dan Kerajaan Terengganu, yang turut dihadiri Mufti Terengganu Datuk Dr Zulkifly Muda.

Ghazali berkata jumlah golongan yang layak menerima bantuan zakat sentiasa berubah kerana ada yang tiba-tiba sakit menyebabkan mereka jatuh miskin.

"Kalau kita tahu, kita akan segera bantu setelah siasatan dibuat terlebih dahulu kerana ia tertakluk kepada syarat di mana mereka yang layak maka kita bantulah," katanya.

Mengenai program berkenaan, Ghazali berkata kehadiran beberapa ilmuan yang arif tentang hukum agama mampu menyelesaikan banyak perkara terutama berhubung permasalahan hukum.

Berhubung ancaman Daesh di Terengganu, Ghazali berkata pemantauan rapi sentiasa dilakukan di semua tempat, termasuk institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta serta pusat pengajian pondok agar kumpulan militan itu dapat dibendung.

Beliau berkata pihak berkuasa agama negeri dan daerah sering membuat pemantauan serta perbincangan bagi memastikan tidak wujud kumpulan militan terbabit di negeri ini.

"Setakat ini sudah ada tindakan diambil oleh pihak berkuasa agama. Tetapi di Terengganu, pergerakan kumpulan tersebut boleh dikatakan dapat dibendung," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS