Memo pengampunan Anwar diserah sebelum akhir tahun
Memorandum bagi mendapat pengampunan diraja untuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong selewat-lewat hujung tahun ini.
Memorandum bagi mendapat pengampunan diraja untuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong selewat-lewat hujung tahun ini.
Pengerusi Sekretariat Pengampunan Anwar Ibrahim, Mohd Zaki Abdul Rahman berkata, pihaknya akan mendapatkan khidmat pakar-pakar dalam pelbagai bidang, terutama perundangan, untuk menyediakan draf memorandum tersebut.
Bercakap kepada
malaysiakini
sewaktu ditemui di simposium pengampunan Anwar di Kuala Lumpur Ahad lalu, beliau berkata, penyediaan memorandum amat penting bagi memastikan ia dapat diterima oleh Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, usaha untuk mendapatkan pengampunan tersebut bukan asing kerana sebelum ini beberapa tokoh politik, termasuk bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris dan bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim telah mendapat pengampunan diraja.
Sementara itu, dalam ucapannya di simposium tersebut, Mohd Zaki berkata, orang Melayu mahu Anwar diberi pengampunan diraja bagi membolehkan beliau memberi bakti kepada masyarakat dan negara.
Katanya, ini kerana orang Melayu kekurangan pemimpin berkaliber dan Anwar boleh mengisi kekosongan tersebut.
"Kepimpinan Anwar sangat relevan kepada orang Melayu dan kerana itu kita mengharapkan beliau boleh terus memberi sumbangan kepada negara," katanya.
Kumpul pandangan ramai
Penceramah utama ialah peguam Anwar, Christopher Fernando yang bercakap mengenai perjalanan perbicaraan Anwar sehingga beliau dijatuhkan hukumkan penjara selama 15 tahun. Hadir sama wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Simposium tersebut diadakan khusus untuk mengumpul pandangan orang ramai terhadap usaha bagi mendapatkan pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan Anwar bergiat dalam politik secepat mungkin.
Bekas Timbalan Presiden Umno itu dibebaskan dari penjara selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan dan hukuman bagi tuduhan liwat ke atasnya.
Bagaimanapun, Anwar disabitkan kesalahan dan menjalani hukuman penjara bagi tuduhan menyalahguna kuasa. Oleh itu, dari segi undang-undang, beliau tidak boleh aktif dalam politik sehingga September 2009.
Fernando berkata, Perlembagaan Persekutuan membenarkan Anwar membuat permohonan untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi membolehkan beliau aktif dalam politik lebih awal.
"Memorandum pengampunan ini boleh dibuat oleh Anwar sendiri atau keluarganya dan sesiapapun bagi pihak Anwar. Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan kepada Anwar," katanya.
Seorang peserta, Datuk Zaharin Mohd Yassin bertanya mengapa beliau tidak dipanggil menjadi saksi perbicaraan sedangkan beliau yang membuat laporan polis terhadap Anwar.
Hukuman penjara
Christopher berkata, soal memanggil saksi terpulang kepada pihak pendakwaraya untuk memanggilnya atau tidak.
Pelajar undang-undang, Baharuddin Edris pula bertanya adakah Anwar boleh membuat permohonan untuk mendapatkan pampasan daripada kerajaan kerana memenjarakan Anwar lebih dari tempoh sebenar.
Anwar terlebih menjalani hukuman penjara selama setahun tujuh bulan dan 15 hari.
Beliau juga bertanya adakan undang-undang membenarkan untuk Anwar mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menangkap dan memenjarakan Anwar.
Ketua Umum Dewan Ulama Indonesia, Hashim Umar menceritakan bagaimana bekas Presiden Sukarno dan Suharto menahan musuh politiknya tanpa perbicaraan dan disumbat ke dalam penjara untuk tempoh yang lama.
Beliau berkata, beberapa pemimpin utama Indonesia seperti Muhamad Natsir dipenjarakan selama enam tahun manakala Sultan Shahrir pula meninggal dunia dalam buangan di Switzerland.

