Tingkah laku pemimpin akar umbi kontroversi Umno Datuk Jamal Md Yunos tidak melambangkan sikap parti itu, kata Datuk Seri Nazri Aziz.

“Dia satu orang ini bukan mewakili Umno.

“Kia ada tiga juga ahli.

“Takkan satu orang ahli buat satu perkara yang mungkin tidak disenangi, maka dikatakan pemikiran secara umum parti,” katanya menjawab pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Dibangkitkan kedudukan Jamal sebagai ketua bahagian Umno Sungai Besar, Nazri menjawab jumlah bahawa parti itu mempunyai hampir 200 bahagian di seluruh Malaysia.

“Iyalah, kita ada 198 bahagian...,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan menambah:

"Jamal bukan pemimpin yang mewakili pemikiran Umno. Tetapi kalau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak atau timbalan perdana menteri, itu mungkin.

"Tetapi beliau (Jamal) bukan wakil rakyatpun," katanya.

Tambah Nazri yang juga ahli majlis tertinggi Umno, ia bukanlah seperti jika seorang ahli melakukan sesuatu yang mengganggu orang lain, ia bermakna pemikirannya mewakili parti secara keseluruhannya.

"Kadang-kadang, kita lihat ahli-ahli parti lain yang melakukan perkara yang sama tetapi kami tidak mengatakan ia memberi kesan kepada seluruh parti," jelasnya.

Jamal mencetuskan kontroversi lagi selepas mengadakan sidang media dalam tandas bangunan Umno Selangor Shah Alam, semalam.

Beliau mencampak surat tuntutan permohonan maaf BERSIH ke dalam lubang tandas. BERSIH menuntut permohonan itu apabila Jamal mendakwa mereka diresapi militan IS.