Global BERSIH: Ancaman larangan perjalanan tak benar
Global BERSIH berkata ia tidak tahu mengenai sebarang ancaman untuk melarang rakyat Malaysia ke luar negara apabila mereka kembali ke negara ini kerana menyertai sebarang perhimpunan BERSIH 5 di luar negara.
Bendahari Global BERSIH, Lydia Chai menyifatkan laporan New Zealand Herald mengenai perkara itu sebagai "mengelirukan".
"Global BERSIH tidak tahu mengenai sebarang ancaman terus kepada rakyat Malaysia di luar negara berkaitan larangan perjalanan dikenakan ke atas mereka sebagai akibat menghadiri perhimpunan BERSIH.
"Jika ada rakyat Malaysia di luar negara yang telah menerima ancaman itu akibat penglibatan mereka dalam aktiviti BERSIH, atau jika mereka telah diberi amaran supaya tidak terlibat, Global BERSIH meminta mereka tampil dan maklumkan kepada kami," katanya dalam satu kenyataan.
Chai berkata laporan New Zealand Herald itu merujuk kepada komen pada bulan Mei lalu oleh Ketua Pengarah Imigresen ketika itu, Datuk Sakib Kusmi, yang dilaporkan berkata kerajaan mempunyai kuasa untuk menghalang rakyat Malaysia daripada ke luar negara jika mereka mencemuh kerajaan.
Sakib telah membuat komen tersebut sebagai respon kepada larangan perjalanan yang dikenakan ke atas Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah.
Chai berkata berita dari bulan Mei itu telah ditimbulkan sekali lagi dalam New Zealand Herald, yang memberikan gambaran mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH 5 di luar negeri, mungkin dikenakan larangan itu apabila mereka pulang ke Malaysia.
Laporan New Zealand Herald itu, katanya, adalah mengelirukan kerana ia membayangkan bahawa rakyat Malaysia di New Zealand telah menerima ancaman mengenai larangan perjalanan yang dikenakan ke atas mereka," katanya.
Beliau mengulangi bahawa rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menyatakan perbezaan pendapat menjelang perhimpunan BERSIH 19 November ini di Kuala Lumpur, yang dijangka disertai dengan perhimpunan yang sama di seluruh dunia.
"Adalah penting untuk kita mengingatkan rakyat bahawa hak untuk berbeza pendapat adalah hak sivil kita di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan," kata beliau.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan turut dilapor menafikan larangan perjalanan dikenakan ke atas mereka yang menyertai perhimpunan BERSIH 5.

