Parkir naik: MP, persatuan pengguna heret DBKL ke mahkamah
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan kenaikan caj parkir di Kuala Lumpur.
Menurut peguamnya, Sankara Nair, ini kerana terdapat ketidakwajaran prosedur dalam pelaksanaan kenaikan caj parkir itu.
"Kamu (DBKL) sewenang-wenangnya menaikkan kadar letak kereta tanpa rundingan.
"Permohonan semakan kehakiman ini bagi membatalkan gazet itu kerana mereka (DBKL) tidak mematuhi prosedur," kata Nair kepada pemberita di mahkamah di Kuala Lumpur hari ini.
Kok dan rakan plaintifnya, Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Kuala Lumpur, Mohd Yusof Abdul Rahman, juga memohon untuk membatalkan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melantik dua syarikat swasta bagi mengendalikan kutipan caj parkir.
Tiga responden yang dinamakan dalam permohonan itu adalah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz serta DBKL.
Nair berkata, berdasarkan kiraannya, bayaran tempat letak kereta baik antara 100 hingga 275 peratus di ibu negara.
Kenaikan kadar tempat letak kereta itu dinaikkan di kawasan pusat perniagaan bermula 18 Julai lalu.
Ia melibatkan kawasan Bukit Bintang, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Bukit Damansara, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar.
Selepas bantahan awam sebelum ini, DBKL menurunkan harganya di kawasan-kawasan itu dari RM2 kepada RM1.50 sejam dan antara RM2.50 dan RM3 untuk jam kedua dan berikutnya.
Bagaimanapun, di kawasan luar pusat bandar, tetapi mempunyai aliran tinggi trafik seperti Sentul, Bangsar dan Brickfields, bayaran untuk jam pertama dan berikutnya ditetapkan sebanyak RM1.
Bagi kawasan jauh dari bandar pula seperti Segambut, Taman Tun Dr Ismail, Setiawangsa, Sungai Besi dan Bandar Tun Razak, kadar sejam ditetapkan sebanyak 80sen.

