PKR mengajak orang ramai berkumpul di luar Istana Kehakiman pada 12 Oktober ini untuk menunjukkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata perhimpunan itu diadakan sempena permohonan semakan semula sabitan kes liwat ke atas bekas timbalan perdana menteri itu yang dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Februari tahun lalu.

Katanya selain menandakan sokongan kehadiran orang ramai juga menunjukkan kesungguhan rakyat mahukan perubahan di negara ini.

"Ia bukan sekadar Anwar, ia adalah tentang mempertahankan suatu sistem, menuntut perubahan dalam sistem.

"Jika kita mahu melihat perubahan kebangkitan rakyat boleh menunjukkan pendirian dan kemahuan kita kepada perubahan," katanya hari ini.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Sungai Buloh selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Bekas anggota parlimen Permatang Pauh itu menafikan tuduhan berkenaan dan mendakwa ia bermotifkan politik.

Bercakap di sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini Tian berkata perhimpunan itu akan dijalankan secara aman.

"Kita akan berkumpul untuk menyatakan sokongan, bukan mencetuskan masalah," katanya.

Tian yang juga anggota parlimen Batu menambah pemimpin PKR di peringkat negeri sudah diarah untuk menggerakkan ahli parti bagi menjayakan perhimpunan itu.

Katanya penyertaan utama dijangka datang dari Kuala Lumpur dan Selangor.

Tian turut berharap anggota parti Pakatan Harapan akan hadir untuk memberikan sokongan.