Bekas ketua AMK Kedah fail saman RM2.6j terhadap NSTP
Bekas Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Khairul Anuar Ramli memfailkan saman fitnah RM2.6 juta terhadap The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) berhubung penyiaran dua artikel yang didakwa palsu dan memfitnahnya.
Khairul Anuar yang kini Presiden Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah menfailkan saman fitnah itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menerusi Tetuan Ambar & Azah.
Dalam saman itu, Khairul Anuar selaku plaintif menamakan wartawan NSTP, Awaina Arbee, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid dan syarikat itu sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Menerusi pernyataan tuntutan, Khairul Anuar mendakwa defendan pertama dengan niat jahat, cuai tanpa memeriksa sumber berita yang diperoleh serta tidak merujuk terlebih dahulu kepada plaintif, telah melapor dan menyiarkan satu kenyataan palsu berbentuk fitnah di New Straits Times Online bertajuk "Ezam should be rejected for PPBM membership, says Youth Chief" pada jam 3.59 petang 3 Oktober lalu.
Pautan kepada siaran kenyataan palsu itu turut dimuat naik ke akaun twitter New Straits Times @NST_Online pada tarikh sama.
Khairul Anuar turut mendakwa satu laporan media telah disiarkan di dalam akhbar NST pada keesokannya (4 Oktober) dengan tajuk "Reject Ezam's application, says PPBM Youth Chief" yang merupakan rentetan daripada kenyataan yang telah disiarkan di NST Online pada 3 Oktober 2016.
Plaintif mendakwa defendan kedua (Abdul Jalil) telah memberikan kebenaran kepada defendan pertama untuk melapor dan menyiarkan berita palsu dan berbentuk fitnah manakala defendan ketiga selaku pemilik NST Online dan akhbar NST telah dengan niat jahat menyiarkan keseluruhan kenyataan-kenyataan palsu masing-masing dalam artikel bertarikh 3 dan 4 Oktober itu.
Khairul Anuar yang merupakan aktivis masyarakat, mendakw artikel yang diterbitkan itu menunjukkan bahawa beliau seorang yang gila jawatan sebagai Ketua Pemuda (Penaja) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memandangkan ketika kenyataan tersebut disiarkan, jawatankuasa penuh PPBM masih belum lagi dibentuk dan dilantik.
Beliau berkata artikel itu juga menggambarkan plaintif mengatakan bahawa Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor seorang yang sanggup "menjual persahabatan" hanya kerana kepentingan peribadi terutamanya yang melibatkan wang dan projek.
Khairul Anuar mendakwa artikel berkenaan juga menunjukkan beliau menyatakan bahawa Ezam merupakan seorang yang mempunyai banyak masalah yang ditimbulkannya selama dia (Ezam) berkhidmat dalam Umno, PKR, Sekreteriat Transformasi Nusantara dan pelbagai badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NG0) sebelum ini serta imej parti PPBM akan tercemar dengan kemasukan Ezam ke dalam parti itu.
Plaintif antara lain mendakwa perkatan-perkataan dalam artikel itu bertujuan memfitnah, menghina, memberi aib, menjatuhkan maruah, nama baik serta reputasi plaintif di mata masyarakat sekali gus mendedahkan plaintif kepada risiko tindakan sivil yang boleh diambil oleh Ezam terhadapnya atas kenyataan-kenyataan negatif dan berunsur fitnah ke atas peribadi Ezam kononnya daripada plaintif walhal ia palsu dan bukan daripada plaintif.
Justeru, plaintif menuntut ganti rugi am dari setiap defendan masing-masing berjumlah RM866,666.68, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta perintah bagi menghalang defendan mengeluar atau menerbitkan artikel fitnah itu.
Selain itu beliau turut memohon faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
- Bernama

