Polis ambil tindakan ke atas 'laporan politik'
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menggunakan laporan polis untuk kepentingan politik mereka.
Katanya polis boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan membuat laporan palsu.
Ditanya media di Bukit Aman hari ini Khalid berkata polis menyedari kecenderungan sesetengah pihak membuat laporan polis demi kepentingan tertentu.
"Kita (polis) pun nampak trend itu. Buat report ini, buat report itu...
"Kita telah mengambil keputusan bahawa jika kita dapati ada pihak yang sengaja menggunakan polis ini untuk kepentingan politik masing-masing, kita akan ambil tindakan di bawah kesalahan membuat laporan palsu," katanya.
Sebelum ini banyak laporan dibuat kepada polis berkaitan pelbagai isu, termasuk membabitkan kalangan ahli politik serta individu tertentu.
Kata Khalid polis tidak melihat ada keperluan untuk mengadakan perbicangan dengan parti politik berkenaan hal itu.
"Saya fikir mereka patut tahu (berkenaan hal itu), saya tak perlu maklumkan apa yang perlu mereka buat," katanya.
Mengenai dakwaan ahli politik bahawa polis tidak mengambil tindakan terhadap laporan mereka, Khalid berkata sebarang tindakan akan diambil ke atas perbuatan yang melanggar undang-undang.
Malah katanya kadang-kadang tindakan itu diambil tanpa perlu laporan dibuat kepada polis.
"Tapi tak perlulah IGP (ketua polis negara) sebut, hari ini polis sudah mengambil tindakan (itu) ini. Jadi tak ada kerja lainlah saya," katanya.

