Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) dan Wilayah Persekutuan (DPPWP) akan mengadakan demontrasi secara aman bagi mempertahankan Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis daripada dirobohkan oleh rejim Israel.

Ketua DPPWP, Riduan Mohd Noor berkata demontrasi tersebut akan diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Kuala Lumpur, Jumaat ini.

"DPPWP juga berharap semua pertubuhan Islam, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) turut hadir bagi menyokong kempen menentang jenayah Israel ini," katanya.

DPPWP juga mempelawa Pemuda Umno untuk turut sama hadir sama sebagai tanda mereka menolak kezaliman Israel jika mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan suara rakyat Palestin.

"Pemuda PAS sememangnya tidak pernah yakin dengan permainan politik Israel. Kelicikan pimpinan mereka telah menyebabkan lebih ramai umat Islam di Palestin menjadi mangsa," tegasnya.

Kerana itulah, katanya, Pemuda PAS telah bertindak memboikot Persidangan Keamanan Di Palestin pada 28 hingga 30 Mac lalu.

"Kekejaman dan kebiadapan Israel semakin menjadijadi. Justeru itu adalah satu kesilapan besar jika mereka meneruskan niat untuk merobohkan Masjid Al-Aqsa," tambahnya.

Tempat suci

Riduan berkata, DPPWP berharap kerajaan Malaysia meningkatkan tekanan ke atas Israel sebagai tanda protes di atas kekejaman regim Yahudi terhadap rakyat Palestin.

Awal bulan lalu, polis Israel terpaksa menutup pekarangan Masjid Al-Aqsa bagi menghalang perarakan puak pelampau Yahudi yang dikhuatiri boleh mencetuskan pertempuran besar dengan penduduk Palestin.

Pasukan keselamatan Israel menyekat laluan ke tempat suci yang dikenali sebagai Haram Al-Sharif di kalangan umat Islam dan sebagai Bukit Kuil oleh Yahudi.

Pelampau Yahudi itu dihalang daripada mendekati Tembok Barat, iaitu kawasan sembahyang Yahudi yang bersempadan dengan Masjid Al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu di pekarangan tersebut, bagi mengelakkan pertempuran dengan umat Islam yang mengerjakan solat di situ.

Pasukan keselamatan Israel turut membataskan kemasukan umat Islam ke tempat suci itu dengan hanya membenarkan penduduk Islam berusia 40 tahun ke atas dari Israel dan wilayah Palestin.

Pekarangan Haram Al-Sharif yang menempatkan Masjid Al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu turut dimuliakan oleh kaum Yahudi kerana mereka mendakwa ia pernah menjadi tapak kuil Yahudi yang dimusnahkan oleh tentera Rom pada 70 Masihi.