16 ditahan disyaki terlibat aktiviti pengganas
Seorang pelajar universiti awam dan seorang warga asing adalah antara 16 lelaki ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan kumpulan pengganas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 38 tahun ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di sekitar Selangor, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah antara 21 September hingga 6 Oktober lepas.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada (lima) peniaga; (empat) juruteknik; (dua) penganggur; seorang guru kaunseling di sekolah kerajaan; seorang kakitangan bank; seorang pengurus eksekutif; seorang pencari barangan antik dan seorang pelajar," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Khalid berkata pelajar berusia 20 tahun yang menuntut di sebuah universiti di Johor itu ditahan ketika pulang ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 22 September lepas.
Menurutnya suspek telah berlepas ke Istanbul, Turki pada 7 September dan ditahan pihak berkuasa Turki sehari kemudian kerana merancang untuk menyusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas di negara itu.
"Tangkapan yang dibuat pihak berkuasa Turki itu adalah hasil maklumat Cawangan Khas Bukit Aman," katanya.
Menurut Khalid, seramai 14 lagi suspek warga tempatan yang ditangkap disyaki merupakan anggota pengganas Daesh daripada kumpulan yang diketuai Muhammad Wanndy Mohamed Jedy.
Katanya, kesemua mereka disyaki telah berbai'ah secara dalam talian kepada Muhammad Wanndy dan menyalurkan dana kepadanya.
Beliau juga menambah, dalam operasi itu polis turut menahan seorang lelaki warga asing berumur 32 tahun yang dipercayai berasal dari Utara Afrika kerana disyaki menganggotai Kumpulan Jahbat Al Nusra di Syria.
"Lelaki itu ditangkap di Selangor pada 25 September. Hasil siasatan juga mendapati suspek telah beberapa kali menyusup masuk ke negara ini sejak Mei lepas.
"Semasa di Malaysia, suspek disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen perjalanan bagi kegunaan Kumpulan Jahbat Al Nusra," katanya.
Sehubungan itu, Khalid berkata kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
- Bernama

