MB Negeri Sembilan nafi anaktirikan DUN Lenggeng
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan menafikan dakwaan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng dianaktirikan berikutan kelewatan menerima peruntukkan berbanding kawasan BN yang lain.
Sebaliknya Mohamad yang dihubungi Malaysiakini berkata peruntukkan bagi setiap DUN tidak ada sebarang masalah meskipun mengakui terdapat kelewatan dari segi pengeluaran cek.
“Saya pun tak semak (laporan dianaktirikan) sebab ia di bawah pejabat kewangan.
“Ini kes pertama yang saya dengar sebab saya tak pernah tahu pun ada laporan sedemikian.
“Sebab apa-apa saja peruntukan untuk projek-projek kecil ADUN tak ada masalah tapi pengeluaran cek itu memang lambat sikitlah sebab beribu-ribu cek kan yang nak dikeluarkan,” kata Mohamad kepada Malaysiakini.
ADUN Lenggeng, Datuk Ishak Ismail yang dipetik akhbar Sinar Harian hari ini mendakwa kawasannya dianaktirikan kerajaan Negeri Sembilan.
Ishak berkata berdasarkan peruntukan yang dipersetujui wakil rakyat kerajaan boleh keluarkan cek dalam tempoh dua minggu.
Namun, berbeza dengan kawasan DUN Lenggeng yang diwakilinya mengambil tempoh berbulan lamanya.
“Kalau ikutkan peruntukan setelah dipersetujui wakil rakyat kawasan, kerajaan boleh keluarkan cek dalam tempoh dua minggu. Tetapi kenapa kawasan saya, sampai tiga hingga empat bulan sedangkan kawasan lain cepat," kata Ishak dipetik akhbar itu.
Dalam laporan tersebut Ishak turut mengambil contoh apa yang berlaku pada sekolah yang terletak kawasannya sehingga mengundang masalah kepada beliau.
“Sebelum ini saya nak buat program UPSR, saya sudah setuju dengan guru besar pada bulan Jun. Tetapi cek sampai dua hari selepas habis UPSR. Tindakan melewatkan peruntukan itu dipercayai bertujuan untuk membuatkan orang ramai marah kepada saya," kata Ishak.
Justeru itu, Ishak berkata beliau percaya ia sengaja dilakukan pihak terbabit.
“Ada usaha orang tertentu nak jatuhkan saya. Kawasan saya dipermain-mainkan. Bukan itu sahaja, banyak majlis di kawasan Lenggeng, saya tidak dimaklumkan walaupun saya wakil rakyat.
“Program di sekolah ini pun saya tidak dijemput sedangkan saya dahulu sekolah di sini. Ini sekolah saya tetapi saya dilarang masuk sebelum ini,” kata Ishak ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Catur Terbuka Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai, Jalan Jelebu, semalam.

