Guan Eng gesa bekas sekutu kembali sertai BERSIH
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng merayu pihak yang sebelum ini pernah menyokong BERSIH tetapi bertindak meninggalkan organisasi itu kembali semula untuk memperjuangkan pilihan raya umum yang bersih.
Tanpa menyebut nama, Lim berkata "mereka pernah menyokong BERSIH tetapi tidak lagi berbuat demikian, adakah ini bermakna mereka tidak lagi bersih?".
"Kita mungkin mempunyai perbezaan pendapat tetapi kita boleh sekurang-kurangnya bersetuju mengenai pilihan raya yang bersih.
"Perbezaan kita tidak penting, apa yang penting ialah kita menyokong pilihan raya yang bersih,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran BERSIH 5.0 peringkat negeri pagi ini.
“Meskipun berbeza ideologi politik, meskipun dulu kawan tetapi kini lawan, kita harap mereka balik menyokong BERSIH,” katanya sambil mendapat tepukan daripada orang ramai.
Ditanya kemudian jika Lim merujuk kepada PAS, ketua menteri itu hanya tersenyum dan tidak mengulas lanjut.
Sebelum ini Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan parti itu tidak akan menyertai perhimpunan BERSIH 5.0 selepas mengambil kira BERSIH mempunyai objektif tersendiri yang tidak senada dengan parti itu.
PAS sebelum ini juga tidak menyertai BERSIH 4.0 yang sekali gus menyaksikan penurunan mendadak jumlah peserta perhimpunan itu khususnya dalam kalangan orang Melayu.
[Baca berita penuh]

