Umno tidak 'hidup' atas isu perkauman, kata Syed Ali
Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee hari ini menyangkal tuduhan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa Umno bertahan kerana mengamalkan politik perkauman.
Ujar Syed Ali dalam blognya, Umno tidak 'hidup' atas isu perkauman walaupun parti itu mendapat sokongan sebahagian besar orang Melayu.
"Walaupun teras perjuangan Umno untuk kepentingan Melayu tetapi tetap mengambilkira keperluan bukan Melayu yang turut menjadi sebahagian rakyat pelbagai kaum di negara ini.
"Dengan mengambilkira kepentingan tersebut, Umno sehingga kini menjadi teras kepada kekuatan komponen Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan," tegas beliau lagi.
Semalam, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, hanya pihak yang tidak mampu menangani isu-isu ekonomi atau skandal 1MDB akan memainkan sentimen perkauman untuk mendapatkan sokongan.
"Apabila mereka tidak dapat memberikan jawatan bagaimana mereka gagal menguruskan ekonomi, bagaimana mereka tidak berani menentang skandal 1MDB, mereka mula memaikan sentimen perkauman.
"Itulah yang kita lawan. Saya minta ahli tidak melayan sebarang permainan sentimen, sama ada ia dari Umno atau PAS. Kita akan beri tumpuan kepada masalah rakyat, iaitu masalah ekonomi," jelas Lim.
Mengulas lanjut, kata Syed Ali, dalam BN, Umno dihormati dan diperakui sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu tetapi tidak mengetepikan hak kaum lain.
"Komponen BN menghormati peranan dan perjuangan Umno dalam membentuk sebuah kerajaan demokrasi sejak merdeka sehingga kini," tambahnya.
Pada masa yang sama, ujar Syed Ali, Lim membuat tuduhan tersebut bagi mengabui mata rakyat kononnya DAP lebih bersifat terbuka.
Katanya, DAP sememangnya parti perkauman yang diketahui umum tidak menyenangi wujudnya kesepakatan atau perpaduan di kalangan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
"Walaupun DAP boleh menjalin hubungan politik dengan parti-parti berasaskan Melayu jika memberi keuntungan kepada mereka," ujarnya lagi.

