Dakwaan rasis Dr M, veteran Umno pertahan Najib
Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakob berkata, pihaknya berasa hairan dengan kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang yang rasis.
Ujar Mustapha, kenyataan mantan perdana menteri itu langsung tidak berasas dan tidak berpijak di bumi yang nyata.
"Kenyataan Mahathir itu memperlihatkan seolah-olah beliau kini sudah mengambil alih tugas pembangkang khususnya DAP dalam menuduh Umno dan kepimpinannya bersikap rasis terhadap bangsa lain di negara ini.
"Saya minta Mahathir menerangkan apa maksudnya bila beliau kata Najib bersikap rasis. Jika nak kata Najib rasis, Mahathir sepatutnya terangkan apa yang dilakukan oleh Najib sehingga beliau dikatakan rasis.
“Janganlah dengan hanya baca laporan akhbar luar dan kemudiannya membuat dakwaan seperti itu tanpa melihat realitinya,” tegas beliau lagi, memetik laporan Umno Online.
Minggu lalu, Mahathir yang pernah dilabelkan sebagai rasis mendakwa Najib juga seorang rasis dengan memecah belahkan umat Islam daripada Islam dan Islam daripada bukan Islam.
"Pada mulanya dia tidak peduli tentang orang Melayu, tetapi hari ini menjadi rasis dan juga Islami, itu ditulis dalam The Economist, bukan (kata) saya," kata Mahathir.
Beliau mengulas kenyataan di blog Najib yang mendakwa seorang ‘pemimpin lama’ yang telah bersara memecah-belahkan umat Islam di negara ini.
Tidak jelas artikel The Economist mana yang dirujuk oleh Mahathir, tetapi laporan April 2015 oleh majalah perniagaan itu berkata kerajaan menggalakkan PAS untuk melaksanakan hudud yang sekali gus "menyemarakkan perbezaan kaum dan agama."
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, kenyataan Mahathir itu tidak ubah seperti skrip yang selama ini diguna pakai oleh pembangkang terutamanya DAP dalam menuduh kepimpinan Umno sebagai rasis.
“Nampaknya Mahathir bukan sahaja sekadar sanggup duduk bersama-sama DAP yang pernah dikatakannya rasis itu tetapi hari ini, rentak serangan beliau terhadap Najib dan Umno saling tak tumpah seperti apa yang dikatakan oleh pemimpin DAP.
"Apakah beliau kini sudah jadi jurucakap bagi pihak DAP," soal beliau.

