Naib Ketua Wanita Gerakan, Azmar Md Ilias mempertahankan 'formula' yang dicadangkan oleh Ketua Biro Perundangan dan Hak Asasi Manusia Gerakan, Datuk Baljit Singh yang dianggap sebagai seksis.

Azmar berkata, Baljit telah mencadangkan parti itu memerlukan lebih ramai calon berbilang kaum selain wanita serta belia.

Katanya, perkara itu dibincangkan sebelum ia dinyatakan secara terbuka dengan memetik beliau sebagai rujukan.

"Oleh kerana saya tidak mempunyai niat menjadi calon dan bagi mengelakkan beliau dilihat untuk melobi untuk mana-mana pihak, saya bersetuju agar beliau nyatakan secara terus-terang.

"Bagaimanapun, kini Baljit yang saya anggap sebagai abang dan rakan seperjuangan dilabel sebagai seksis.

"Ini tidak adil dan menjadi lebih teruk apabila hanya sebahagian kenyataannya dilaporkan dan separuh lagi yang merujuk kepada saya dipadam atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh wartawan," katanya dalam kenyataan.

Azmar yang telah menyertai Gerakan sejak 1985 melahirkan harapan agar kenyataannya itu akan meredakan keadaan dan tujuan utama cadangan itu disuarakan iaitu mempunyai lebih ramai wakil bercirikan pelbagai kaum, golongan belia dan wanita pada pilihan raya umum akan datang menjadi kenyataan.

Terdahulu, Baljit mencanangkan formula tersendiri untuk membolehkan partinya memenangi pilihan raya akan datang.

Kata Baljit, di kerusi yang didapati peluang untuk menang adalah sangat tipis, Gerakan perlu meletakkan calon wanita muda, seksi dan "sanggup melakukan segala-galanya".

"Kalau nak kerusi yang sure (pasti) 100 peratus kalah, kenapa nak letak calon yang (berusia) 70 tahun, lelaki Cina 70 tahun, 80 tahun?

"Kenapa tak letak seorang wanita cantik, manis, energetic (bertenaga), seksi, dan sanggup melakukan segala-galanya (demi parti)?" kata Baljit.

[Baca berita penuh]