Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal tidak ada kaitan dengan  siasatan berkisar penangkapan dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berjaya merampas RM53 juta tunai dan aset lain dengan nilainya lebih RM100 juta.

Perkara itu disahkan oleh sumber yang rapat dengan siasatan tersebut.

"Tidak. Kami tidak menemui apa-apa yang berkaitan dengan Shafie lagi," katanya kepada Malaysiakini yang enggan namanya didedahkan ketika ditanya sama ada bekas menteri Umno itu mempunyai kaitan.

Satu lagi sumber yang biasa dengan siasatan itu juga memberitahu perkara yang sama.

Beberapa pihak sebelum ini mengaitkan kes berkenaan dengan Shafie yang juga bekas naib presiden Umno dan sedang dalam proses mendaftarkan sebuah parti berasaskan negeri.

Terdahulu, Ahli Parlimen Umno dari Sabah, Datuk Raime Unggi berkata, SPRM perlu meluaskan siasatan dengan melibatkan kementerian persekutuan dan menteri dalam kes rasuah membabitkan projek infrastruktur air bernilai RM3.3 bilion itu.

Sumber SPRM yang tidak dinamakan mendakwa 60 peratus daripada pembiayaan RM3.3 bilion itu telah disalurkan.

"Salah guna kuasa ini berlaku pada tahun 2010 dan adalah wajar untuk SPRM juga menyiasat menteri serta para pegawai kanan kementerian persekutuan yang terlibat," kata Raime.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga mengetuai Kementerian Pembangunan Infrastruktur negeri berkata, beliau tidak berbabit dalam projek berkenaan.

Beliau mendakwa dana RM3.3 bilion itu adalah pembiayaan Persekutuan yang disalurkan terus daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Putrajaya tanpa melalui beliau.

Mohd Shafie berkhidmat sebagai menteri di kementerian terbabit dalam tempoh 2009 hingga 2015 dan kemudian digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas lantang membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Dalam pada itu, Shafie mempersoalkan kalangan mereka yang menuding jari kepada kementerian berkenaan semasa tempoh beliau menerajuinya berhubung dakwaan penyelewengan berkenaan.

"Ia agak membingungkan dan melucukan bahawa pihak berkuasa negeri berada dalam tergesa-gesa untuk mengaku mereka tidak bersalah kepada umum dan mengalihkan kesalahan itu kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah apabila siasatan oleh SPRM masih berterusan.

"Membuat kenyataan kepada umum seperti itu seolah-olah menunjukkan bahawa pihak berkuasa negeri tidak menghormati dan tidak yakin terhadap proses siasatan oleh SPRM," ujar Shafie lagi.

[Baca berita penuh]