Hashim Jasin berkata pelantikan beliau sebagai mursyidul am PAS bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din diterimanya dalam keadaan berat hati.

Merendah diri, Hashim, 77, yang juga bekas pesuruhjaya PAS Perlis berkata beliau tiada apa-apa kelebihan berbanding pendahulunya, mahupun calon-calon lain.

Sebaliknya, Hashim berkata, pelantikan itu dibuat kerana komitmen beliau yang lebih kurang berbanding pihak lain.

"Pelantikan saya itu dibuat bukan atas apa-apa kelebihan jika dibandingkan dengan orang lain.

"Cumanya, pelantikan yang diberi kepada saya dalam Majlis Syura itu hanya satu (saja jawatan saya) dan saya saja tak banyak kerja.

"Jadi, memandangkan orang lain banyak jawatan yang mereka pegang dan tugas yang banyak dalam parti serta dengan kepercayaan yang diberikan dalam keadaan berat saya terima (jawatan itu),” kata Hashim kepada Malaysiakini.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh semalam berkata Majlis Syura sebulat suara mengekalkan Datuk Ahmad Yakob sebagai timbalan mursyidul am susulan kesibukannya.

Ahmad juga menteri besar Kelantan.

Zawawi dilaporkan berkata, Hashim dipilih susulan beliau paling tua dalam majlis itu, mempunyai ilmu yang mantap dan mempunyai pandangan politik yang jauh.

Hashim, bekas wakil rakyat Sanglang dan Arau, Perlis itu dilantik menggantikan Haron yang meninggal dunia selepas mengalami masalah jantung.