Banyak persoalan menunggu mursyidul am baru PAS Hashim Jasin, terutamanya berkaitan persoalan kerjasama politik parti itu.

Bagaimanapun, berdepan tukar sukar sebagai pemimpin rohani parti Islam itu, Hashim, 77, berkata ketetapan ketika era pendahulunya Datuk Nik Abdul Aziz dan Datuk Dr Haron Din akan diteruskan.

"Majlis Syura ini sudah ada panduan-panduan perjalanannya.

“Dan tugas kita hanya membincangkan perkara yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat PAS dari sudut ketepatan dengan syariat.

“Dan kalau dah tepat kita tak perlu buat apa, hanya sokong saja.

"Saya hanya meneruskan apa yang telah diputuskan semasa Haron Din dan Nik Aziz jadi mursyidul am PAS dengan meneruskan gagasan kerjasama yang pernah dibuat oleh Rasullah," kata Hashim.

Sementara itu, beliau juga mengulas isu kerjasama politik PAS sama ada akan cenderung terhadap Pakatan Harapan atau Umno.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan jawapan jelas, tetapi mengingatkan prinsip keterbukaan parti itu menerima siapa saja “atas dasar kebajikan dan ketaqwaan”.

Tolak kerjasama dosa, permusuhan

Dan PAS, menurutnya lagi, akan menolak kerjasama atas dasar dosa dan permusuhan.

"Sebab itu kita nampak sekarang apa saja kebajikan yang dibawa oleh kerajaan kita sokong dan begitu juga dengan pembangkang.

"Jadi, kita tak memandai-mandai fikir pakai otak sendiri tetapi kita merujuk kepada sumber yang kuat dalam al-Quran dan Sunnah," tegas pengerusi Majlis Syura itu, badan pemutus tertinggi PAS selepas muktamar.

Hashim, bekas pesuruhjaya PAS Perlis dilantik sebagai mursyidul am parti itu menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia selepas mengalami masalah jantung.

Harakahdaily melaporkan pelantikan Hashim itu dilaporkan dibuat sebulat suara oleh anggota mesyuarat susulan beliau paling tua dalam majlis itu, mempunyai ilmu yang mantap, dan mempunyai pandangan politik yang jauh.

Timbalan Mursyidul Am Datuk Ahmad Yakob yang juga menteri besar Kelantan pula dilapor dikekalkan di jawatannya disebabkan sibuk dengan tugas lain.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada PAS akan hilang hilang banyak kerusi jika tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan, Hashim berkata perkara itu cuma andaian.

Katanya, daripada aspek agama, terdapat perkiraan lain yang diambil kira dan bukan sekadar campur tolak Matematik.

"Andaian ini biasalah, ada yang kata kalau kita kerjasama kita akan menang banyak dan kalau bersendirian kita menang sikit.

"Tapi pandangan agama mungkin berbeza.

“Maksud saya kalau kita ada RM10 kita derma RM1 tinggal RM9.

“Tetapi pada pandangan agama mungkin ia akan menjadi RM19. Itu perkiraan dari sudut agamalah," kata Hashim.

Bincang kenyataan Nasrudin

Sementara itu, Hashim mendedahkan PAS sedang berbincang berhubung kenyataan ketua penerangannya Nasrudin Hassan bahawa parti itu menolak kerjasama dengan pihak yang mempunyai hubungan dengan DAP.

"Kita ada sedikit kajian mengenai perkara ini dan ia akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat akan datang, insya-Allah.

"Dan hasilnya nanti jika ada perkara yang perlu dipertimbangkan oleh majlis syura kita akan bermesyuarat. Jika keputusan terbabit bercanggah dengan syariat kita boleh batalkan.

Jawatankuasa itu akan bermesyuarat pada Khamis depan.

Gabungan pembangkang dalam Pakatan Rakyat sebelum ini berpecah selepas pertelingkahan berpanjangan dengan DAP dalam pelbagai isu, terutamanya berkaitan hudud.

PAS tidak menyertai gabungan baru Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, perkembangan politik semasa menyaksikan terdapat usaha menggabungkan seluruh kekuatan pembangkang untuk berdepan BN dalam pilihan raya umum depan.