Husni elak ulas politik, tunggu sesi parlimen
Bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah nampaknya berhat-hati benar untuk menjawab soalan media.
Sebelum ini beliau antara menteri kanan kerana kedudukannya di Kementerian Kewangan, namun hari ini anggota parlimen Tambun itu enggan mengulas sebarang isu politik.
Tindakannya meletak jawatan daripada kabinet Datuk Seri Najib Razak secara mengejut pada Jun lalu menjadikan beliau tokoh yang menarik perhatian.
Ia disebabkan peletakan jawatan itu terjadi ketika Najib masih dibayangi skandal 1MDB.
Hari ini ketika ditemui Malaysiakini Ahmad Husni mengelak daripada memberi kenyataan mengenai perkembangan semasa politik negara.
"Tak mahulah cerita politik, tak mahu.
"Tak mahu cerita atau cakap pasal politik," katanya ringkas.
Ahmad Husni berkata demikian ketika ditemui selepas suatu forum peringkat Asia berkaitan kependudukan dan pembangunan di Kuala Lumpur.
Husni melepaskan jawatan yang disandang beliau sebagai Menteri Kewangan Kedua pada 27 Jun sejurus sebelum Najib mengumumkan rombakan kabinet.
Beliau juga meletakkan kesemua jawatannya dalam Umno sama ada di peringkat pusat, negeri dan bahagian.
Beliau hanya mengekalkan kedudukannya sebagai anggota parlimen Tambun.
Jawatan Menteri Kewangan Kedua kini disandang Datuk Johari Abdul Ghani.
Sejak meletak jawatan Ahmad Husni hanya pernah membuat keyataan kepada sekali saja selepas itu.
Menurutnya beliau akan bercakap dan meluahkan pandangannya di Dewan Rakyat pada sidang akan datang.
"Saya akan bercakap dari hati dan minda di parlimen nanti, dan ia tidak akan beri kesan kepada mana-mana parti," kata Husni.

