Naikkan cukai judi, arak tampung Biasiswa Nasional - PERKASA
Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali mencadangkan supaya cukai judi, arak dan hiburan yang sering dilabel sebagai cukai haram dinaikkan bagi menampung Biasiswa Nasional bagi pelajar bukan Islam seperti yang dicadangkan oleh Gerakan.
Katanya, cukai judi sudah tentu memberikan nilai yang banyak dan boleh dimanfaatkan kepada pelajar bukan Islam yang memerlukan.
“PERKASA berpendapat tabung biasiswa yang dicadangkan oleh parti Gerakan sumbernya harus lebih praktikal, mudah.
“Saya percaya kerajaan akan dapat mengutip dalam jumlah yang besar tabung ini dengan mengenakan cukai tambahan dua hingga tiga peratus kepada syarikat yang mengendalikan syarikat judi, baik kasino nombor ekor, loteri, cukai arak, serta pusat hiburan.
“Ia kerana cukai dari syarikat perjudian kaut keuntungan beratus juta setiap tahun mungkin berbilion dan perlu dinaikkan cukai bidang ini,” katanya.
Ibrahim berkata demikian dalam wawancara bersama Malaysiakini di ibu pejabat PERKASA di Kuala Lumpur.
Ibrahim berkata demikian mengulas cadangan Gerakan supaya kerajaan mewujudkan Biasiswa Nasional dalam Bajet 2017 yang dianugerahkan berdasarkan merit kepada pelajar yang layak.
Ahad lalu, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata biasiswa bagi membantu pelajar kurang berkemampuan itu boleh dibiayai melalui langkah menaikkan cukai sebanyak satu peratus ke atas rakyat Malaysia berpendapatan lebih RM1 juta serta syarikat yang berpendapatan lebih RM300 juta.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, cukai seperti judi boleh diberikan kepada pelajar bukan Islam manakala pelajar beragama Islam pula menerima peruntukan dari Bajet 2017 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 21 Oktober ini.
“Kerana bagi pelajar Islam, sumber seumpama ini adalah sumber yang haram sebab orang Islam tak boleh terlibat dengan perjudian, minuman keras atau terlibat dengan maksiat.
“Jadi bagi pelajar Islam terima dari bajet kerajaan,” katanya.

