Fomca: Wajib sediakan tempat sisa telefon pintar
Syarikat-syarikat pengeluar telefon wajib menyediakan lokasi khas bagi tempat pembuangan telefon pintar rosak supaya barangan elektronik itu boleh dikitar semula atau komponennya diguna semula.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata lokasi khas itu boleh dijadikan satu daripada elemen penting dalam undang-undang e-sisa yang bakal dikuat kuasa pada 2018.
Beliau berkata seperti mana sisa pepejal seperti sampah sarap yang diasingkan mengikut kategori kaca, plastik dan kertas, telefon pintar yang rosak juga perlu dibuang ke tempat atau lokasi khas yang disediakan.
"Dalam undang-undang baru ini, syarikat pengeluar telefon perlu menyediakan lokasi khas untuk pembuangan telefon pintar yang rosak.
"Jika boleh, syarikat pengeluar beli semula telefon itu dari pengguna dengan membayar sedikit insentif. Dengan cara ini, ia mampu menarik minat pengguna menjualnya," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Beliau berkata kerajaan juga boleh menguatkuasakan undang-undang dengan mengenakan tindakan terhadap pemilik telefon pintar yang gagal membuang telefon pintar yang sudah rosak.
"Ini kerana telefon pintar yang sudah rosak berisiko membahayakan kesihatan diri di samping menyumbang kepada pencemaran alam sekitar," jelasnya sambil memberitahu undang-undang e-sisa mampu menarik kesedaran orang ramai tentang pentingnya membuang telefon pintar rosak.
Yusof berkata undang-undang itu juga diharap mampu mengubah persepsi masyarakat tentang kesedaran kitar semula telefon pintar.
"Sebelum ini, orang ramai membuang sisa telefon pintar merata-rata tempat hingga membahayakan nyawa kerana ia mengandungi komponen bertoksik.
"Bayangkan, komponen plumbum pada telefon pintar yang rosak mampu merosakkan sistem saraf dan buah pinggang manakala bahan merkuri boleh menyebabkan insomnia," katanya sambil berharap undang-undang itu kelak dapat memastikan pembuangan sisa telefon pintar dilakukan secara teratur dan sistematik.
Yusof juga meminta semua pihak supaya memainkan peranan termasuk syarikat pengeluar telefon pintar dengan menjalankan kempen kitar semula telefon pintar dan menggalakkan orang ramai membuangnya secara sukarela.
Ditanya tentang pengguna telefon pintar yang masih menyimpan telefon lama mereka, Yusof berkata tiada salahnya menyimpan telefon sebagai koleksi namun telefon itu harus diasingkan daripada komponen berbahaya untuk mengelak kemudaratan kepada kesihatan.
Pada Januari lepas, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengumumkan ia akan memperkenal undang-undang pengurusan dan pengendalian bahan buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) daripada isi rumah.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata undang-undang itu diperlukan kerana Malaysia tidak mempunyai sistem serta peraturan khusus dalam pengendalian pembuangan e-sisa bagi barangan kelengkapan rumah.
- Bernama

