Gerakan saran Guan Eng berguru dengan Rahman
Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng menyarankan Lim Guan Eng mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk mengurus ekonomi Pulau Pinang.
Kata Liang ketua menteri Pulau Pinang itu wajar berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman kerana anggota parlimen Kota Belud itu bertanggungjawab ke atas Unit Perancangan Ekonomi (EPU).
Kata Liang Pulau Pinang mencatatkan prestasi buruk kerana Lim gagal mengurus ekonomi negeri berkenaan.
Menurutnya mengikut statistik Jabatan Statistik KDNK per kapita Pulau Pinang ketika negeri itu di bawah pemerintahan Barisan Nasional pada 2007 ialah RM31,039 berbanding RM44,847 pada 2015.
Walaupun KDNK per kapita Pulau Pinang pada tahun lalu berada di tangga ketiga jika dibanding statistik 2007 dan 2015, negeri berkenaan sebenarnya berada pada tangga paling rendah.
"Jika dibandingkan statistik 2007 dengan 2015, kadar pertumbuhan KDNK per kapita Pulau Pinang hanya 44.5 peratus dan ia berada pada tangga paling bawah antara semua negeri termasuk Kuala Lumpur dan Labuan," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Kenyataan Liang itu dibuat ekoran dakwaan Lim bahawa Pulau Pinang mencatat kadar pengeluaran dalam negeri kasar (KDNK) kedua tertinggi - selepas Kuala Lumpur - pada tahun lalu. Selangor berada di tempat ketiga.
Lim membuat kenyataan itu di konvensyen DAP Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 9 Oktober lalu.
Belajar dengan Tony Pua
Kata Liang walaupun KDNK per kapita Kelantan pada 2015 berada di tempat terendah, kadar pertumbuhan negeri ditadbir PAS itu adalah sebanyak 73.9 peratus dan jauh lebih tinggi berbanding Pulau Pinang.
Liang berkata statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) pula menunjukkan sejak 2010, prestasi pelaburan Pulau Pinang semakin menurun dengan kedudukan negeri itu kian jatuh dari tangga pertama (pada 2010 dan 2011) ke tangga kelima pada 2015.
"Pada masa yang sama, kita terkejut melihat kos pengurusan Pulau Pinang naik mendadak berganda-ganda, dari RM283.15 juta pada 2008 hingga RM745.54 juta pada 2014," katanya.
Liang seterusnya menyindi Lim sebagai ketua menteri Pulau Pinang yang mempunyai prestasi paling rendah dalam pengurusan ekonomi negeri.
Katanya Lim sepatutnya mendapatkan nasihat serta saranan daripada seorang lagi pemimpin DAP Tony Pua yang dikenali mempunyai banyak pengetahuan dalam bidang ekonomi.
Pua ialah anggota parlimen Petaling Jaya Utara dan pengerusi DAP Selangor.
"Tetapi saya lebih ingin mencadangkan Lim berjumpa Abdul Rahman untuk membincangkan langkah-langkah yang harus diambil demi mengembalikan ekonomi negeri ke landasan yang betul," katanya.
Sementara itu, Liang juga mempertikaikan cadangan parti baru Parti Barisan Pulau Pinang (PFP) yang ingin membina sebuah kasino di negeri itu jika memenangi pilihan raya umum.
"Jika tubuh sebuah kasino boleh menjana pendapatan negeri, maka adakah Selangor, Johor, Kelantan dan negeri lain juga perlu tubuh kasino?
"Saya berpendapat bahawa memadai bagi negara ini mempunyai satu kasino. Sudah cukup untuk menarik pelancong datang ke Malaysia," katanya.

