Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya hari ini melepas tanpa membebaskan 73 peserta protes anti-GST (cukai barangan dan perkhidmatan) atas dakwaan mengingkari arahan polis supaya bersurai.

Mahkamah sesak dengan mereka yang dituduh itu, termasuk dua ahli parlimen, Dr D Jeyakumar (Sungai Siput) dan Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai).

Turut didakwa adalah Setiausaha Agung, Parti Sosialis Malaysia (PSM) A Sivarajan, Badrul Hisham Shaharin (lebih dikenali sebagai Chegubard), pelajar universiti, aktivis PSM, Jerit, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Arahan itu diberikan selepas Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi yang dibuat oleh peguam tertuduh.

Sekumpulan peguam yang diketuai oleh Gobind Singh Deo kemudian memohon mahkamah untuk membebaskan semua tertuduh supaya dakwaan berkenaan tidak lagi menghantui mereka.

Walau bagaimanapun, Shafiq menjawab bahawa arahan adalah hanya untuk melepas tanpa dibebaskan.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh kemudian mengarahkan semua wang jaminan dikembalikan.

Mahkamah juga mengambil maklum bahawa enam tertuduh lain sama ada di luar negara - United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia - atau lewat untuk menghadiri perbicaraan.

Tiga surat perwakilan dihantar oleh peserta protes kepada Peguam Negara. Dua permintaan terdahulu ditolak dan surat ketiga yang dihantar pada 30 Mac, akhirnya diterima.

Semua mereka didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman kerana protes ‘duduk’ di Kompleks Wilayah Kastam Persekutuan di Kelana Jaya pada 23 Mac 2015.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan, melaksanakan GST pada 1 April tahun lalu.

[Baca berita penuh]