Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan diminta ambil kira status Proton sebagai OEM
Diterbitkan:  Oct 13, 2016 5:35 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Proton Holdings Bhd menyambut baik apa sahaja insentif yang akan dibentangkan kerajaan dalam Bajet 2017, ke arah memperkasakan dan mengembangkan industri itu dengan lebih cepat, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Radzaif Mohamed.

Beliau berkata kerajaan juga diminta mengambil kira status Proton sebagai pengeluar peralatan asli (OEM) sepenuhnya, yang telah banyak membantu melahirkan tenaga kerja mahir tempatan untuk industri automotif.

"Saya rasa amat penting jika kita dapat (sesuatu) dari aspek insentif dan dapat menggalakkan perkembangan industri. Ia amat dihargai," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Peraduan 'Proton Search 2016', hari ini.

Insentif yang beliau tekankan ialah dari aspek penyelidikan agar Proton lebih berkembang dari sudut pengetahuan.

Sementara itu, Proton menerima 5,000 tempahan untuk Proton Saga baharu sejak dilancarkan pada 15 Jun, manakala Proton Persona baharu menerima 14,000 tempahan, sejak dilancarkan pada 23 Ogos, kata Radzaif.

Beliau berkata model baharu berkenaan memperoleh sokongan pasaran, sekali gus membuktikan pasaran terus menaruh keyakinan ke atas model berkenaan.

"Sokongan yang ada buat masa ini adalah hasil kepuasan pemilik atau pengguna Proton, dan kami mahu ia berterusan agar jenama Proton dikaitkan dengan produk berkualiti serta berbaloi," katanya.

Mengenai acara hari ini, Mohd Isa Ibrahim Shah, 85, bekas penjawat awam, memenangi hadiah utama berupa sebuah Proton Saga baharu menerusi kisah mengenai Proton Saga manual yang dibeli pada 1985 yang telah membawa keriangan serta sangat bermakna kepada keluarganya.

Pertandingan itu dianjurkan bagi mencari pemilik Proton paling lama yang masih menggunakan kenderaan itu dan secara relatifnya dalam kedudukan yang baik.

Pertandingan yang julung kali diadakan itu dan berlangsung selama 13 minggu mulai 8 Mac hingga 8 Jun, menerima sejumlah 866 penyertaan daripada pemilik Proton dari pelbagai kaum di seluruh negara yang memandu kereta Proton sejak dikeluarkan dari 1985 hingga 2012.

Pertandingan itu diadakan sempena kempen pelancaran Proton baharu pada Februari lepas yang merupakan sebahagian daripada inisiatif pertama untuk meningkatkan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS