Video viral yang dikatakan memaparkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membelasah seorang pegawai polis adalah palsu.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) ACP Asmawati Ahmad berkata, pemuda memakai baju bertulis "PDRM" itu sebenarnya orang awam yang menyamar.

Dia sebenarnya, kata Asmawati, ditangkap kerana terlibat kes curi motosikal di Kuantan pada September 2016.

"Beliau ditangkap oleh orang awam di Rawang, Selangor pada 5 Oktober 2016 dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.

"Jelasnya, ia tidak melibatkan kes SPRM atau mana-mana pegawai SPRM seperti didakwa.

Dalam kenyataan hari ini, Asmawati juga berkata polis memandang serius penyebaran berita palsu sebegitu kerana ia boleh mencalarkan kewibawaan kedua-dua badan penguatkuasaan negara itu.

"Orang awam dinasihatkan untuk tidak mudah terpedaya dengan maklumat atau mesej yang diviralkan, dan diminta untuk tidak berkongsi maklumat yang tidak sahih dan meragukan.

“Jadilan masyarakat yang berhemat dan bijak menggunakan rangkaian komunikasi atau media sosial agar tindak tanduk kita tidak mewujudkan situasi yang boleh menggusar serta menjejaskan ketenteraman awam," katanya.

 

SPRM pandang berat

Sementara itu, SPRM juga dilapor menafikan klip video yang sama.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata SPRM telah membuat laporan polis video yang tersebar di media sosial di Johor Bahru hari ini.

"SPRM memandang berat perbuatan segelintir pihak yang cuba memburukkan imej SPRM di mata masyarakat yang seolah-olah cuba melaga-lagakan SPRM dengan polis.

"Kita harap orang ramai tidak menyebarkan video tersebut kerana ia boleh mengelirukan masyarakat," beliau dilapor berkata dalam kenyataan hari ini.

Video 39 saat yang dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak itu didakwa melibatkan kes penahanan anggota polis oleh pegawai SPRM di Johor.