GLOBAL l Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej, 88, disahkan meninggal dunia, hari ini, menurut satu kenyataan oleh pihak istana di Bangkok.
Baginda adalah raja yang paling lama memerintah di Thailand.
Sejak pagi tadi, ribuan orang berkumpul di luar Hospital Besar Siriraj, Bangkok bagi mendoakan kesihatan baginda yang dilaporkan semakin gering dan tenat.
Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha turut membatalkan semua program rasmi beliau dan turut berada di hospital bersama-sama keluarga diRaja yang lain.
Raja Bhumibol sangat dimuliakan oleh rakyat negara itu kerana komitmen besar terhadap kebajikan termasuk krisis melanda selama ini.
Ahad lalu, pihak istana mengeluarkan kenyataan yang mengatakan baginda gering.
Kali terakhir baginda dilihat dikhalayak ramai adalah pada 11 Januari lalu.
Sementara itu, Bernama melaporkan, baginda yang memimpin kerajaan Thailand selama 70 tahun sejak menaiki takhta pada 1946 mangkat di Hospital Siriraj Baginda pada pukul 3.52 petang.
Menurut kenyataan Biro Diraja Thailand, baginda menerima rawatan di hospital berkenaan sejak 3 Oktober 2014.
"Secara beransur-ansur keadaan baginda bertambah teruk sehingga baginda menghembuskan nafas terakhir pukul 3.52 petang di Hospital Siriraj. Baginda berusia 89 tahun dan menduduki takhta selama 70 tahun,' menurut kenyataan itu.
