Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pegawai di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor berkata, syarikat Perusahaan Automobil Nasional Sendirian Berhad (Proton) kini diuruskan secara secara profesional dengan memilih pembekal yang menawarkan harga paling kompetitif.

Kenyataan itu sekaligus menafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu memufliskan Proton seperti di dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata Rizal, pihak Proton tidak seharusnya memilih pembekal hanya kerana mereka itu adalah kenalan bekas perdana menteri itu.

“Penulisan Tun Mahathir menimbulkan soalan apakah perjuangan sebenar beliau dan parti barunya.

“Saya yakin bahawa pihak urusan Proton sekarang mengurus secara profesional dan akan memilih pembekal dan kontraktor yang harganya berpatutan dan bermutu tinggi.

“Pihak urusan Proton tidak patut memilih pembekal ataupun kontraktor hanya berasaskan peniaga-peniaga ini adalah kenalan mantan perdana menteri,” kata Rizal dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mahathir melalui kenyataan di blognya mendakwa beliau disekat daripada berhubung dengan kakitangan Proton.

Selain itu, orang tertentu di Proton juga tidak dibenarkan bercakap dengan beliau manakala para peniaga di kalangan kenalannya tidak dibenarkan mengadakan perniagaan dengan Proton.

Dakwa Tun Mahathir lagi, tujuan Najib berbuat demikian adalah bagi melihat Proton bankrap dan boleh dijual dengan murah.

Ujar Mahathir lagi, rakannya yang berniaga kini diganggu dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, jika semua cukai sudah dibayar sekalipun, akan ada cukai tambahan dikenakan.

Mengulas lanjut, Rizal berkata, rakan kepada Mahathir tidak perlu bimbang kerana cukai memang wajib dibayar sejajar dengan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Adakah perjuangan Mahathir dan parti barunya semata-mata untuk memperjuangkan hak para peniaga dan hartawan di kalangan kenalan untuk tidak membayar cukai berpatutan ataupun hak untuk menjalankan perniagaan dengan Proton?” soalnya.

Lihat Komen
ADS