Mesyuarat hari terakhir, 'baju putih' berkumpul di Istana Negara
Sekumpulan individu hari ini berkumpul berkumpul di luar Istana Negara, sempena mesyuarat hari terakhir Majlis Raja-Raja, yang antaranya akan memilih Yang di-Pertuan Agong baru.
Berbaju putih dengan tulisan “Rakyat Tuanku” dan bersongkok mereka berkumpul sejak jam 7 pagi tadi.
Mereka melaungkan “Daulat Tuanku” setiap kali kereta diraja memasuki istana, dimulai dengan sultan Johor dan lapan lagi raja-raja Melayu.
Jurucakap kumpulan itu Mahathir Mohd Rais berkata, mereka berhimpun bagi menunjukkan sokongan terhadap Agong sedia ada dan mengalu-alukan pemerintah tertinggi negara yang akan dilantik.
Bagaimanapun, bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengakui beliau hadir hadir ini turut memohon supaya Majlis Raja-raja menyentuh isu semasa.
“Terutamanya berkaitan rasuah, skandal 1MDB dan salah guna kuasa,” katanya.
Khairuddin, penggerak penting kempen kutipan tandatangan menolak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mengakui perhimpunan hari ini mempunyai kaitan dengan Deklarasi Rakyat.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini telah menyerahkan 1.2 juta tandatangan bagi memohon Agong bertindak terhadap Najib.

