Mimbar puji usaha SPRM tangani rasuah
Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini memuji langkah yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani rasuah yang berlaku di negara ini.
Menurut teks khutbah itu, rasuah perlu dibanteras secara bersama dan semua pihak harus memainkan peranan supaya ia dapat diatasi.
“Dengan adanya agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes jenayah rasuah seperti SPRM, mimbar yakin lebih banyak manfaat akan dapat diraih oleh masyarakat dan negara.
“Namun, perjuangan ini tidak membawa apa-apa kesan sekiranya tiada kebersamaan dari pelbagai pihak dan masyarakat untuk memastikan rasuah dibanteras.
“Justeru, kesedaran, sokongan dan peranan semua pihak amat diperlukan bagi menyokong segala aktiviti dan usaha mencapai matlamat,” menurut teks itu.
Baru-baru ini SPRM berjaya merampas lebih RM114.5 juta selepas melakukan serbuan ke atas pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah. Ini sekaligus menjadikannya sebagai rampasan terbesar dalam sejarah suruhanjaya tersebut.
Perkara mungkar
Menurut teks itu, rasuah adalah perkara mungkar yang dibimbangi semua pihak dan seandainya ia merebak dikhuatiri akan menggugat keimanan dan menggoncang ketetapan hati sehingga mengakibatkan bencana yang besar kepada negara.
“Kegelisahan ini adalah kerana rasuah yang berleluasa boleh menghakis sistem keadilan, nilai-nilai murni, dan menggugat pemerintahan secara demokratik.
“Seterusnya, akan lahir anggota masyarakat yang berperibadi buruk lagi hina kerana rela menggadai maruah agama dan diri demi mengejar wang ringgit, pekerjaan, jawatan, pangkat, hadiah dan sebagainya,” menurut teks itu lagi.
Katanya, berdasarkan laporan, lazimnya penglibatan rasuah dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam adalah meliputi perbuatan meminta dan menerima suapan, menawar dan memberi suapan, membuat tuntutan palsu dan menyalah guna kedudukan jawatan untuk tujuan suapan.
Justeru mimbar menyeru supaya semua pihak perlu mempunyai integriti dan amanah kerana ia dapat menjadi benteng kepada sebarang peri laku negatif termasuk gejala rasuah.
“Prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti hendaklah diserapkan ke dalam ketetapan minda (mind set) masyarakat agar wujud rasa tanggungjawab dalam diri di samping meningkatkan tahap motivasi, kecekapan dan mutu kerja,” petik teks itu.

