Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberikan butiran bagaimana ia menyusun persempadanan semula di kawasan tertentu menyebabkan beberapa kawasan mempunyai bilangan besar pengundi sehingga 10 kali ganda berbanding kawasan lain.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan menyatakan badan pemilih itu perlu memastikan terdapat sekurang-kurannya jumlah yang sama di setiap kawasan.

Beliau berkata SPR perlu diminta untuk mendedahkan bagaimana ia memutuskan persempadanan semula kerana ini akan memastikan pilihan raya yang bebas dan adil.

Katanya rakyat, terutamanya pengundi, mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat mengenai bagaimana persempadanan semula itu dilakukan.

"Perlu ada kebebasan maklumat dan hak untuk mendapat maklumat tentang bagaimana SPR membuat keputusan itu.

"Pada masa ini, maklumat itu tidak boleh didapati terutama di laman web SPR. Dan maklumat yang diberikan adalah berkaitan kawasan tertentu tetapi tidak semua kawasan pilihan raya.

"Jika kita melihat perayu (Haris Fathillah Ibrahim) yang menjadi pengundi di DUN Bukit Gasing di bawah tempat kerusi parlimen Petaling Jaya Selatan, dia hanya boleh mendapatkan maklumat mengenai kawasannya sepanjang tempoh bantahan 30 hari. Jika dia mahu mendapatkan maklumat mengenai kawasan-kawasan lain, dia perlu pergi ke kawasan tertentu untuk periksa,"katanya.

Malik berkata Haris mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat mengenai kawasan lain berdasarkan kes di Kanada yang menyediakan kebebasan maklumat dengan memetik satu piagam serupa dengan Perkara 10 (1) Perlembagaan mengenai kebebasan bersuara.

"Maklumat adalah sesuatu yang SPR dari segi undang-undang tak boleh pilih untuk tak dedahkannya. Persoalannya adalah penting dan utama kerana SPR mesti mendapatkan keyakinan orang ramai.

"Hakikat bahawa terdapat banyak fail bantahan sehingga hari terakhir (bantahan) hari ini menunjukkan bahawa keyakinan terhadap SPR tidak ada," katanya kepada panel tiga anggota.

Haris merayu keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman yang memerlukan SPR memberikan maklumat bagi setiap kawasan pilihan raya.

[Baca berita penuh]