Sebanyak 10 kawasan di Pulau Pinang dijangka mengalami banjir kilat berikutan fenomena air pasang besar mulai hari ini hingga 19 Oktober.
Berikutan itu, penduduk di kawasan terlibat terutama di persisir pantai diingatkan supaya lebih berwaspada dan bersedia untuk dipindahkan berikutan paras air laut dijangka mencecah sehingga tiga meter di beberapa tempat.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, Pang Ah Lek berkata kawasan yang dikenal pasti ialah Batu Feringghi; Tanjung Bungah; Teluk Bahang; Teluk Kumbar; Balik Pulau; Penaga; Pantai Bersih; Teluk Air Tawar; Pulau Aman; dan Sungai Udang.
"Jika berlaku ribut petir dan angin kencang sekitar pesisir pantai pada tempoh itu, kawasan-kawasan berkenaan akan ditenggelami air," katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata jangkaan bacaan di kawasan persisir pantai di bahagian pulau ialah antara 2.6 meter hingga tiga meter manakala di seberang antara 2.5 meter hingga 2.9 meter.
Paras air pasang paling tinggi iaitu tiga meter di bahagian pulau dijangka pada pukul 1.11 pagi Isnin; 1.47 pagi Selasa; dan 2.24 pagi Rabu manakala di seberang, paras air pasang tertinggi ialah 2.9 meter diramal pada pukul 2.25 pagi Selasa.
"Anggota APM akan membuat rondaan di kawasan terlibat sepanjang tempoh itu. Kami juga membuat pemantauan awal dengan menasihatkan orang ramai di kawasan terlibat menyimpan barangan mereka di tempat selamat," katanya sambil
memberitahu bahawa sejumlah 114 pusat pemindahan disediakan.
Pang berkata APM telah membuat persediaan logistik dengan menyediakan 24 kenderaan dan 18 bot untuk menghadapi fenomena air pasang besar itu dengan 1,020 anggota diletakkan dalam keadaan bersiap siaga.
Beliau berkata pihaknya turut membuka Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) dan Pusat Kawalan Operasi Negeri (PKON) 24 jam sehari bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan orang ramai boleh menghubungi APM di talian 04-2289012 atau 04-2263876.
Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar, Mohd Azhar Musa, 50, berkata beliau telah membuat persiapan awal bagi menghadapi fenomena air pasang besar dengan mengemas barang-barang dan meletakkannya di tingkat atas kediamannya.
Beliau berkata rumahnya yang terletak tidak jauh dari laut itu dimasuki air semasa fenomena air pasang bulan lepas menyebabkan banyak barang-barang miliknya rosak.
"Kami telah dimaklumkan akan berlaku air pasang besar... kalau keadaan teruk saya bersama isteri dan empat anak akan berpindah ke pusat pemindahan sementara," kata nelayan itu.
Ahmad Hussain Ahmad Jamal, 48, pula berkata kebanyakan nelayan di kawasan Teluk Kumbar tidak turun ke laut sejak petang semalam ekoran hujan lebat dan angin kuat serta bimbang fenomena air pasang besar itu menyebabkan ombak kuat dan tinggi.
"Kami bimbang bot-bot dipukul ombak kuat. Lagipun saya takut rumah naik air, kesian dekat isteri dan anak-anak nanti...jadi lebih baik kemas rumah dan simpan barang-barang di tempat selamat sekarang ini," katanya.
Sementara itu, di Alor Setar, seramai 60 anggota APM Kuala Muda bersiap siaga menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di daerah ini, esok.
Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Lt.Muda Pertahanan Awam Azahar Ahmad berkata pihaknya sudah mula melakukan pemantauan bermula hari ini selain melakukan latihan simulasi bersama agensi
keselamatan yang lain.
Fenomena itu kali ini, katanya dijangka turut menjejaskan lebih 1,000 penduduk dari Kampung Sungai Yu, Kampung Sungai Meriam, Kampung Paya, Kampung Ujung Matan, Kampung Padang Salim, Kampung Masjid, Kampung Baru Pulau Sayak dan Kampung Sungai Pial di Tanjung Dawai.
Jangkaan bacaan ketinggian ombak bermula esok sehingga 20 Oktober ini berada dalam lingkungan 2.8 hingga 3 meter, katanya kepada Bernama hari ini.
Katanya Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam-Komuniti turut diaktifkan yang terdiri daripada 60 orang termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Penghulu dan penduduk kampung.
"Pasukan ini juga akan turut membantu memberi bantuan kecemasan kepada mangsa apabila berlaku fenomena air pasang besar atau bencana alam lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Mohd Razmi Abd Rashid berkata sejumlah 27 pegawai dan anggota bersiap sedia untuk memantau keadaan di kawasan yang dijangka terlibat iaitu di sepanjang pesisir pantai di Kota Kuala Muda.
"Malah kita turut meletakkan sebuah jentera bomba dalam keadaan bersedia di sana (Kota Kuala Muda) bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku," katanya.
Sementara itu, di Shah Alam, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti riadah di kawasan pantai di Selangor bermula Ahad ini sehingga 19 Oktober berikutan fenomena air pasang besar.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong berkata dalam tempoh itu, paras air di sekitar daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dijangka berada pada tahap tertinggi iaitu di antara 5.6 hingga 5.7 meter.
"Saya menasihatkan supaya semua aktiviti pelancongan di tepi pantai dan laut ditunda sepanjang tempoh itu. Pelancong juga dinasihatkan supaya tidak ke kawasan pantai barat Selangor ketika fenomena air laut pasang besar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berkata pihaknya kini dalam keadaan persediaan tertinggi bagi menghadapi gelombang kedua fenomena itu.
Yang Dipertuanya Mohd Azhar Mohamed Ali berkata MDKL mempunyai Skuad Pantas dianggotai 18 anggota, yang bersedia digerakkkan pada bila-bila masa bagi membantu menjalankan operasi.
"Skuad ini turut dilengkapi beberapa jentera dan peralatan bagi memberikan khidmat dan bantuan menyelamat," katanya.
Mohd Azhar berkata paras air tertinggi di Kuala Langat dijangka setinggi 5.7 meter pada 6.35 pagi Isnin depan.
Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk yang tinggal berhampiran Pantai Kelanang dan Pantai Tanjung Sepat supaya sentiasa berwaspada bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Jawatankuasa Bencana Selangor sebelum ini meramalkan paras air laut berada pada paras tertinggi di antara 16 hingga 19 Oktober ini, yang menyebabkan beberapa kawasan di pesisir pantai berisiko banjir dan ditenggelami air.
- Bernama
