Pelajar leka lerai motosikal curi ditahan
Lima pelajar sekolah menengah termasuk seorang pelajar Tingkatan Satu ditahan polis ketika sedang leka meleraikan komponen motosikal curi di kawasan perumahan mereka di Taman Medan di Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata mereka yang belajar di sekolah menengah yang sama di sini, dipercayai mula bergiat dalam aktiviti curi motosikal sejak awal minggu ini.
"Kesemua mereka ditahan Selasa lalu, semua mereka masih bersekolah dan kini ditahan untuk membantu siasatan kes ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Mohd Zani berkata seorang lelaki berumur 23 tahun yang dipercayai merupakan anggota kumpulan curi motosikal 'Geng Bedol' ditahan dalam serbuan di Taman Dato Harun di Petaling Jaya, Rabu lepas.
"Dalam serbuan yang dijalankan kira-kira 12 tengah hari itu, lelaki itu ditahan dalam sebuah rumah dan hasil pemeriksaan mendapat suspek positif dadah jenis syabu.
"Kami percaya geng Bedol telah aktif sejak dua bulan lepas dengan penemuanbeberapa rangka motosikal yang dibuang berhampiran rumah lelaki itu," katanya.\
Beliau berkata polis masih memburu seorang lagi rakannya yang berusia 32 tahun bagi membantu siasatan.
Dengan tertangkapnya lelaki itu, Mohd Zani berkata polis yakin telah berjaya menyelesaikan 10 kes kecurian motosikal di sekitar daerah ini.
"Lelaki itu direman enam hari sehingga 17 Oktober ini," katanya.
- Bernama

