'Kita Lawan' - giliran setiausaha PKR Perak pula didakwa
Lebih ramai pemimpin pembangkang diheret semula ke mahkamah berhubung perhimpunan 'Kita Lawan' di Ipoh, tiga tahun lalu.
Jika Jumaat lalu, ahli parlimen Ipoh Timur, Thomas Su Keong Siong didakwa semula di Mahkamah Sesyen Ipoh mengikut Akta Perhimpunan Aman, hari ini giliran setiausaha pengelola PKR Perak.
Beliau didakwa gagal memberikan notis untuk mengadakan perhimpunan.
Mohd Anuar Zakaria, 49, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan tidak memaklumkan kepada ketua polis daerah Ipoh berhubung perhimpunan yang diadakan di pejabat PKR di Jalan Medan Istana, Ipoh pada kira-kira jam 7.30 petang, 12 Mei, 2013.
Beliau diwakili oleh peguam Madhi Hassan dan Khairul Anuar Musa. Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer mewakili pihak pendakwaan.
Hakim Ikmal Hishan Ahmad Tajuddin menetapkan jaminan RM8000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 18 November ini.
Pada 16 Mei 2014, Mohd Anuar dan Su dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan itu setelah Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, - Rushan Lutfi Mohamed memutuskan bahawa beliau terikat dengan penghakiman Mahkamah Rayuan semasa membebaskan ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad daripada pertuduhan serupa.
Ini berikutan perisytiharan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

