Anggota-anggota Parlimen dari Sarawak berkemungkinan mahu mendapatkan semula kuasa di negeri ini seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 menerusi pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

The Borneo Post hari ini memetik Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sebagai berkata, anggota parlimen dari negeri itu akan mencadangkan sebarang pindaan di Parlimen 'jika perlu'.

Khususnya, Adenan merujuk kepada pindaan tahun 1976 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberikan status yang sama kepada Sarawak dan Sabah, seperti negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

"Sebelum (pindaan tahun 1976), adalah dinyatakan bahawa Malaysia hendaklah terdiri daripada negeri-negeri di Malaysia Barat, Sarawak dan Sabah serta Singapura. Sudah tentu, Singapura tidak lagi lah.

"Sekarang, hanya ada satu kategori," ujar beliau kepada pemberita semasa satu sesi di PWTC, Kuala Lumpur semalam.

Ditanya sama ada Sarawak dan Sabah dianggap rakan kongsi setara dalam Malaysia sebelum pindaan tersebut dilakukan, Adenan dilaporkan menjawab, "Saya maksudkan apa maknanya. Anda lihat, ia adalah kategori yang berasingan (daripada negeri)."

Beliau juga menegaskan status rakan kongsi setara Sarawak adalah berdasarkan kepada syarat-syarat Perjanjian Malaysia 1963.

[Baca berita penuh]