Majlis Gereja: RUU Hadi cuba radikalkan perlembagaan
Majlis Gereja Malaysia (CCM) merayu ketua-ketua parti politik untuk membenarkan wakil mereka di Dewan Rakyat mengundi mengikut suara hati masing-masing berbanding menurut arahan ketua berhubung rang undang-undang persendirian dibawa PAS bai meminda Akta 355.
Dalam surat terbuka ditandatangani setiausaha agungnya Dr Hermen Shastri CCM berkata sebagai ahli politik yang dipilih dan diamanahkan untuk menegakkan integriti Perlembagaan Persekutuan anggota parlimen sepatutnya mewakili kepentingan rakyat, mempertahankan hak asasi serta kebebasan seseorang seperti termaktub dalam perlembagaan.
"Anggota parlimen tidak boleh membenarkan cubaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengubah sistem keadilan negara kita.
"Rang undang-undang Abdul Hadi bukan saja mengenai menaik taraf kuasa mahkamah syariah, tetapi ia juga merupakan usaha untuk menulis semula perlembagaan dengan cara yang radikal.
"Perlembagaan Persekutuan kita sudah meletakkan sempadan jelas kuasa menggubal undang-undang antara kerajaan pusat dan negeri.
"Usaha Abdul Hadi memperkenalkan dan memperluaskan kesan lingkungan undang-undang Islam bukan sahaja kepada penganut Islam menimbulkan kebimbangan, undang-undang negeri kini boleh diluluskan dalam bidang kuasa persekutuan," katanya.
Walaupun 'dipakaikan' sebagai rang undang-undang parlimen, Hermen berkata rang undang-undang itu memang disasarkan dalam semangat membesarkan bidang kuasa negeri ke dalam kedaulatan negara.
Gunakan hak, berani undi
Katanya, apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan, raja-raja bimbang setiap mereka kekal sebagai ketua Islam di negeri masing-masing, dan tidak kebimbangan mengenai tiadanya rampasan ke atas kuasa mereka.
Menurut Hermen Abdul Hadi yang juga presiden PAS boleh - dengan perkenan Sultan Kelantan - memperkenalkan undang-undang di dalam negerinya, tetapi ketika memperkenalkan pindaan rang undang-undang itu beliau sudah merentasi sempadan kekuasaannya.
Peraturan sesebuah negeri yang membolehkan sesuatu enakmen Islam diluluskan juga menjelaskan bahawa ruang undang-undang agama biasanya mencakupi aspek diri dan keluarga.
"Kanun Keseksaan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. Ada keputusan jelas daripada badan kehakiman kita yang menekankan keadaan ini.
"Sebaik sahaja kita kehilangan keseimbangan antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan persekutuan, ia akan membawa kepada laluan berbahaya percanggahan perundangan, hukuman yang tidak boleh diterima masyarakat moden; dan hakisan terhadap status sekular liberal perlembagaan dan kesan utamanya adalah ke atas Sabah dan Sarawak," katanya.
Hermen menjelaskan gereja di seluruh negara akan bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan untuk berdoa supaya ahli parlimen menggunakan hak mereka dan berani mengundi untuk menentang rang undang-undang berkenaan.
"Gereja-gereja, penganut agama lain di negara ini, dan orang yang memberikan anda amanah mewakili cita-cita tertinggi dalam kebebasan, keadilan dan keamanan diasaskan dalam Perlembagaan Persekutuan yakin anda akan melakukan perkara yang betul untuk melindungi demokrasi yang membentuk negara kita," katanya.
Rang undang-undang persendirian Abdul Hadi dilaporkan diletak pada kedudukan keempat pada kertas aturan mesyuarat di parlimen menjadikan perbahasan mengenainya mungkin diadakan hari ini atau esok.

