Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menafikan spekulasi mengenai kemungkinan pilihan raya mengejut walaupun khbar angin mengenainya semakin bertiup kencang.

The Star Online memetik Mohamed Khaled menafikan laporan mengenai khabar angin tersebut yang dianggap 'sembang kosong dalam aplikasi sembang mudah alih di kalangan beberapa indivdu dalam kumpulan'.

"Saya bukan sebahagian daripada kumpulan itu dan tidak melibatkan saya. Kami tidak mempunyai niat seperti itu," Khaled dipetik sebagai berkata semasa diminta untuk mengulas mengenai khabar angin yang dilaporkan oleh The Star awal hari ini.

Antara lain, terdapat juga laporan beberapa wakil rakyat Umno Johor serta ahli-ahli pembangkang telah menyatakan kecenderungan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri berkenaan.

Ia bersandarkan kepada perbincangan yang diadakan dalam aplikasi sembang berkumpulan di kalangan pemimpin Umno Johor yang terdiri daripada ketua-ketua bahagian, ahli Parlimen dan ahli dewan undangan.

The Star juga memetik Ahli Parlimen Pulai yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dipetik sebagai berkata, beliau menyokong cadangan itu kerana percaya Umno mampu mencapai keputusan lebih baik dalam pilihan raya negeri berasingan.

"Johor adalah kubu terakhir Umno, kami bersedia untuk mengujinya," Nur Jazlan dilaporkan berkata.

Sementara itu, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dalam kenyataan awal hari ini turut menyatakan kesediaan parti itu untuk menghadapi pilihan raya negeri berasingan.

[Baca berita penuh]