Kanak-kanak 2 tahun parah terjatuh eskalator ketika didukung bapa
Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun parah selepas terjatuh dari eskalator aras satu bangunan pusat beli-belah di Bukit Jambul di Pulau Pinang semalam.
Menurut Utusan Online, kanak-kanak itu dikatakan sedang didukung di atas bahu oleh bapanya ketika sedang menaiki eskalator berkenaan pada kejadian 6.30 petang itu.
Bagaimanapun, laporan yang memetik sumber polis itu berkata, kanak-kanak berkenaan difahamkan terjatuh selepas bapanya panik kerana mendapati tangan anaknya tersepit pada bahagian pemegang eskalator berkenaan.
“Dalam keadaan panik itu, kanak-kanak tersebut dikatakan terlepas daripada dukungan bapanya dan jatuh ke tingkat bawah kompleks beli-belah berkenaan.
“Kanak-kanak itu ketika ini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang selepas mengalami pendarahan dalam kepala serta retak tempurung kepala,” kata sumber itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Sek. 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

