Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Jason Loo berkata, beliau dan keluarganya telah diancam dengan serangan fizikal ekoran saman fitnah oleh Consortium Zenith BUCG-(CZBUCG).

Dalam tuntutan balas yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Loo berkata, CZBUCG yang telah dianugerahkan konsesi pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang mengelirukan orang ramai dengan saman fitnah yang didakwa dibuat secara 'melulu' terhadap beliau.

"Selepas itu (saman), defendan dan ahli keluarganya telah diganggu, diancam dan diberikan amaran mengenai serangan fizikal oleh mereka yang berkait dengan plaintif atau penyokong kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Oleh itu, soal keselamatan tertuduh dan keluarganya telah dikompromi," menurut tuntutan balas beliau.

CZBUCG menyaman Loo ekoran kenyataan beliau pada 23 Jun yang lalu dengan dakwaan telah secara melulu menuduh firma berkenaan mengaut 'keuntungan tidak munasabah daripada kajian kemungkinan, reka bentuk terperinci dan tiga lebuh raya bagi terowong dasar laut'.

Loo enggan memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.

Sebelum ini, Loo mendedahkan 'episod satu daripada skandal terowong bawah laut Pulau Pinang' dengan mempersoalkan kos sebenar kajian kemungkinan dan reka bentuk terpeinci bagi projek itu.

Loo mendakwa kajian kemungkinan dan reka bentuk terperinci bagi terowong dasar laut dan tiga lebuh raya itu hanya berharga RM90 juta (AS$22 juta) dan bukan RM305 juta seperti didakwa kerajaan Pulau Pinang.

Jumlah RM90 juta itu, katanya, telah didedahkan di laman web bahasa Cina, China Railway Construction Group, salah satu daripada rakan kongsi Consortium Zenith BUCG-(CZBUGG), firma yang mendapat kontrak untuk membina terowong dan tiga jalan.

Syarikat itu mendedahkan jumlah tersebut apabila menandatangani perjanjian bagi projek dengan CZBUCG pada bulan Oktober 2013, kata Loo lagi.

"Apa yang terjadi kepada baki RM215 juta," soal beliau.

Sebelum ini, Loo mencabar Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang, Lim Hock Seng untuk berdebat mengenai "isu terowong dasar laut dan demokrasi" tetapi cabaran tersebut ditolak.

[Baca berita asal]