Sayap pelajar Parti Amanah Negara (AMANAH) memberi amaran mengadakan referendum khas menolak belanjawan 2017 jika peruntukan pendidikan dipotong lagi.

Pengerusi Mahasiswa AMANAH Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda berkata potongan besar RM2.4 bilion tahun lalu menyebabkan kesan negatif kepada pendidikan negara.

Sebagai contoh, katanya, Universiti Malaya yang merekodkan potongan bajet sebanyak 27.3 peratus menyaksikan beberapa program pendidikan tergendala.

Beliau juga memetik Kongres Persatuan Akademik Malaysia (Kongres MAAC) bahawa sektor pengajian tinggi, terutama universiti awam, berhadapan kekangan seperti kurang penyelidikan pensyarah, peralatan lama selain pembangunan terhadap.

MAAC juga dengan jelas bersetuju bahawa potongan peruntukan pendidikan dalam belanjawan 2016 telah mewujudkan kesan berterusan, kata Ahmad Fadhli.

“Oleh itu, Mahasiswa AMANAH memberi amaran sekiranya kerajaan terus memotong peruntukan pendidikan dalam Bajet 2017 kelak, Mahasiswa AMANAH dengan kerjasama gerakan-gerakan dan kumpulan-kumpulan mahasiswa seluruh negara akan menggerakkan satu referendum khas #SiswaTolakBajet2017!” katanya.

Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak dijadual membentangkan belanjawan 2017 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.

Tahun lalu, potongan kedua terbanyak melibatkan Kementerian Pengajian Tinggi. Belanjawannya dikurangkan RM2.4 bilion, kepada RM13.378 bilion.

Untuk menanganinya, dana untuk universiti awam dikurangkan sebanyak RM1.442 bilion.

Paling buruk melibatkan Universiti Malaya, diikuti Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Teknologi Mara, yang menyaksikan bajetnya masing-masing dipotong sebanyak 27.3 peratus, 23.76 peratus dan 23.72 peratus.