Dokumen Deklarasi Rakyat yang dikemukakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah tidak mendapat perhatian Mesyuarat Majlis Raja-raja.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang turut berada dalam mesyuarat di istana negara minggu lalu bagi mengiringi Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob, berkata mesyuarat itu menolak Deklarasi Rakyat.

“Mesyuarat di Istana Negara menolak deklarasi rakyat yang kononnya mempunyai sejuta tanda tangan bagi menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri berikutan usaha itu sangat bercanggah dengan perlembagaan pemilihan pemimpin negara dibuat melalui sistem pilihan raya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Beliau dilaporkan berkata demikian dalam wawancara “30 minit bersama Idris Haron” di saluran Melaka FM, lapor Berita Harian.

Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu ke-242 bersidang empat hari mulai 11 Oktober lalu di tengah-tengah permintaan supaya istana menyentuh isu 1MDB dan Deklarasi Rakyat yang menolak pentadbiran Najib.

Malah, sekumpulan individu berbaju putih berkumpul di luar istana negara di Kuala Lumpur, yang dikatakan turut memohon perkara itu, selain menyambut pemilihan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai yang di-Pertuan Agong ke-15.