Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini enggan menyatakan sama ada anggota parlimen Umno akan menyokong usul Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang dibawa Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Semasa sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini, Ahmad Zahid ditanya mengenai pendirian Umno mengenai usul itu, tetapi beliau memilih untuk berteka-teki.

"Menurut peraturan Parlimen, perkara itu disenaraikan keempat dalam aturan mesyuarat dan ia adalah kuasa Speaker untuk membuat keputusan mengenai perkara ini. Kita serahkan kepada speaker" katanya.

Apabila ditekan sekali lagi dengan jawapan, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Presiden Umno.

Setakat ini, sokongan Umno terhadap RUU berkenaan yang bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah berbelah bahagi.

Bagaimanapun, beberapa parti komponen BN menyatakan secara terbuka tidak akan menyokongnya.

RUU itu menjadi kontroversi sejak usaha membentangkannya pada 19 Mac tahun lepas bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Pada masa ini, undang-undang itu mengehadkan kuasa hukuman Mahkamah Syariah kepada RM5,000 denda, enam sebatan dan penjara tiga tahun.

Sejak Mac tahun lepas, RUU itu beberapa kali muncul dalam aturan mesyuarat, yang dianggap layanan istimewa untuk RUU pembangkang.

Bagaimanapun, RUU itu tidak dibahaskan ketika persidangan berlangsung.