Utusan kalah rayuan akhir, ganti rugi RM200,000 pada Anwar
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Utusan Malaysia bagi merayu untuk mengurangkan jumlah ganti rugi untuk dibayar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Utusan memohon membangkitkan beberapa persoalan undang-undang sama ada sabitan sebelum ini boleh digunakan untuk mengurangkan jumlah ganti rugi yang harus dibayarnya.
Susulan keputusan hari ini, Utusan harus membayar ganti rugi RM200,000 kepada Anwar.
Anwar menyaman Utusan dan ketua editornya Datuk Abdul Aziz Ishak pada tahun 2013, berikutan laporan akhbar itu yang memetik wawancara BBC pada 2012, bahawa Anwar menyokong lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).
Panel tiga anggota diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah menolak permohonan Utusan secara sebulat suara.
“Tiada merit untuk permohonan bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya.
Dua lagi hakim ialah Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Utusan juga diarah membayar kos RM10,000.
Akhbar Umno itu cuba mengurangkan ganti rugi yang harus dibayat dengan membangkitkan sabitan terdahulu.
Diwakili oleh Wan Azmir Wan Majid, Utusan membangkitkan persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan, iaitu:
- Sama ada penghakiman dalam mahkamah jenayah boleh digunakan bawah Seksyen 52 dan Seksyen 55 Akta Keterangan 1950, untuk memberikan kesan terhadap anggaran ganti rugi;
- Sama ada reputasi umum bawah Seksyen 55 Akta Keterangan, termasuk sabitan terdahulu atau pengetahuan berkaitan sabitan terdahulu.

