Masyarakat pribumi S'wak dakwa BN tak tunai janji beri IC
Sekumpulan masyarakat pribumi negeri Sarawak mendakwa kerajaan BN masih belum menunaikan janji yang dibuat semasa pilihan raya negeri lima bulan lalu untuk memberi mereka dokumen pengenalan yang sah bagi yang tidak mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan.
Empat aktivis yang diketuai oleh Mujan Jok berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo yang ditujukan kepada pemimpin pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Semasa pilihan raya, mereka berjanji untuk membantu dengan isu IC, mereka berjaya memenangi hati rakyat tetapi selepas menang, mereka tidak bersyukur," ujar Mujan kepada pemberita di luar lobi Parlimen, hari ini.
Tambah beliau, semasa pilihan raya, BN telah mengumpulkan semua penduduk yang tidak mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan dengan untuk mengambil segala butiran mereka.
Bagaimanapun, tiada susulan dari langkah tersebut sehingga sekarang.
Mujan yang terpaksa melalui perjalanan sejauh lebih 3,000km dari Baram yang terletak di kawasan pedalaman Sarawak untuk datang ke Parlimen di Kuala Lumpur berkata, ini merupakan kali kedua beliau menghantar memorandum ini.
Sebelum ini, beliau telah menghantar memorandum yang sama pada 28 Jun yang lalu tetapi masih tidak mendapat sebarang maklum balas.

