Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menguatkuasakan pemasangan papan tanda peringatan kepada pelanggan mengenai larangan kekerasan terhadap kakitangan mereka di seluruh negara.

Ketua pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penyelarasan dan pemasangan notis terbabit bertujuan mengingatkan pelanggan agar berkelakuan baik sekali gus menghormati peraturan apabila berada di mana-mana kemudahan KKM.

Kata Dr Noor Hisham, ia juga sebagai penekanan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pelanggan yang melakukan kekerasan terhadap warga KKM.

"Semua pengarah kesihatan negeri telah dimaklumkan mengenai penyelarasan notis peringatan kepada pelanggan mengenai larangan kekerasan terhadap kakitangan KKM," kata Dr Noor Hisham dalam posting terbaru beliau di Facebook.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata langkah tersebut diambil sebagai langkah melindungi warga kementerian itu.

"KKM sentiasa komited menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga kerja KKM, dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik kepada pelanggan," katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar sebelum ini dilaporkan kesal terhadap pihak yang mengasari seorang jururawat di Unit Kecemasan Hospital Besut dalam kejadian pada 9 Mac tahun lalu.

Mohamad Iskandar yang dipetik Sinar Harian berkata tindakan seorang bapa pesakit mengasari jururawat di hospital itu ketika dia memberi rawatan tidak sepatutnya berlaku.

Sinar Harian pada 11 Mac 2015 pula menyiarkan kisah seorang jururawat berusia 28 tahun membuat laporan polis selaps mendakwa ditampar seorang lelaki ketika merawat bayinya yang berusia empat bulan.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, jururawat itu turut mendakwa dimarahi dan diugut lelaki berkenaan agar tidak membuat laporan polis.